FAM diminta beri perhatian kepada mutu pengadilan

SEREMBAN: Merujuk kepada perlawanan JDT lawan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail, Johor Bahru pada 12 Ogos 2025 yang berkesudahan dengan keputusan 5-3; Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) agar memberi perhatian kepada mutu pengadilan dalam Liga Malaysia.
“Mutu pengadilan perlu ditambah baik dan ini harus diberi perhatian oleh FAM.
“Peminat melihat perlawanan tersebut secara live. Saya harap FAM dapat melihat komen-komen tersebut di media sosial.
“Peminat bola sepak menulis banyak komen di media sosial menegur mutu pengadilan merujuk perlawanan JDT lawan Negeri Sembilan di Johor Bahru pada 12 Ogos 2025.
“Sebelum ini saya tidak boleh komen, sekarang saya wajar komen kerana sekarang saya Presiden NSFC,” kata Aminuddin.
Menurut Aminuddin lagi, keperluan untuk tingkatkan sistem pengadilan ini penting untuk mengangkat standard bola sepak negara.
“Perbelanjaan negeri terpulang kepada kemampuan masing-masing.
“Tetapi setiap pasukan atau kelab bola sepak perlu berbelanja.
“Jadi saya rasa banyak atau sedikit, mereka terasa di mana pengadil perlu adil dan bola sepak negara menuju betul-betul profesional.
“Saya mengikuti bola sepak Eropah dan saya mendapati, apabila berlaku sedikit kesilapan (pengadil) pun, peminat mereka marah.
“Sebab itu saya harap bahawa kita di Malaysia ini juga tumpukan tentang mutu pengadilan dan penganjuran yang terbaik,” ujar Aminuddin.