Berita

Institusi pendidikan diminta tingkat kesiapsiagaan hadapi cuaca panas

KUALA LUMPUR: Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diarahkan meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta melaksanakan langkah-langkah proaktif bagi menghadapi fenomena cuaca panas, khususnya apabila sesi persekolahan kembali dibuka selepas tamat Cuti Penggal 1.

KPM dalam satu kenyataan media memaklumkan, pihak sekolah perlu mengambil tindakan segera termasuk menangguhkan aktiviti luar sekiranya suhu melebihi 35 darjah Celsius bagi mengelakkan risiko kesihatan kepada murid.

Selain itu, pihak sekolah juga diminta memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada cuaca panas agar kesejahteraan mereka sentiasa terjamin.

Menurut kenyataan itu, institusi pendidikan perlu memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi di sekolah serta menggalakkan murid membawa air minuman sendiri.

Murid juga disaran mengambil air dalam kuantiti yang mencukupi bagi mengawal suhu badan, manakala pelajar asrama perlu dibekalkan air sekiranya berlaku keadaan kritikal.

KPM turut menegaskan kepentingan kerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi kesihatan akibat cuaca panas.

Pada masa sama, semua warga sekolah diminta sentiasa peka terhadap situasi semasa di kawasan masing-masing dan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

Dalam pada itu, pertimbangan khas boleh diberikan kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana untuk memakai pakaian sukan yang sopan bagi menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca panas semasa.

Kementerian menegaskan bahawa aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga pendidikan menjadi keutamaan dalam menghadapi situasi cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

Show More

Related Articles

Back to top button