Jangan salah gunakan inisiatif SejaTi MADANI
PORT DICKSON: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun mengingatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan peruntukan yang diberikan melalui Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI).
“Ia harus digunakan sebaiknya dan perlu memberi manfaat kepada orang ramai terutamanya masyarakat sekitar.
“Selain itu, ia juga lebih baik sekiranya dapat memberikan pulangan secara tetap kepada komuniti penduduk,” kata Aminuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Port Dickson.
Aminuddin berkata demikian dalam lawatannya ke Kampung Jimah Baru untuk melihat tanaman nanas yang diusahakan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Jimah Baru.
Dalam pada itu, Aminuddin turut melawat projek pembangunan Dewan Kampung Sawah Bukit Pelandok dan kerja naik taraf Masjid Kampung Sawah Bukit Pelandok.
“InsyaAllah pembangunan yang dijalankan ini dapat memberikan manfaat dan kemudahan kepada komuniti setempat,” tambah beliau.