Berita

Kemahiran Adaptif Penting Pastikan Pelajar Tidak Ketinggalan – Dr Jufitri

SEREMBAN: Kemahiran adaptif merupakan elemen penting dalam pendidikan masa kini bagi memastikan pelajar mampu menyesuaikan diri dengan perubahan pesat khususnya dalam bidang teknologi.

Dr.Jufitri Joha, Ahli Dewan Negara berkata pelajar perlu belajar dan beradaptasi dengan cepat terhadap perubahan yang berlaku agar tidak ketinggalan dalam arus perkembangan semasa.

Menurut beliau, kemahiran tersebut tidak boleh dibentuk hanya melalui silibus formal sebaliknya perlu dipupuk menerusi pembelajaran sosial serta pendedahan kepada program-program di luar bilik darjah.

“Keupayaan untuk beradaptasi inilah yang menentukan sejauh mana pelajar mampu bersaing pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Wacana Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Theatrette, Wisma Negeri Sembilan, di sini.

Wacana itu dianjurkan oleh Pertubuhan Penggerak Madani Negeri Sembilan dengan sokongan Akademi Kenegaraan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) bagi memberi pendedahan menyeluruh mengenai fokus RPM 2026-2035 termasuk aspek Mutu, Akses dan Ekuiti, Ketersediaan Sumber serta Kecekapan.

Dr Jufitri turut menekankan empat intipati utama aspirasi RPM 2026-2035 iaitu adaptif, menghargai nilai, semangat patriotisme dan bersedia menghadapi masa depan.

“Dengan empat elemen tersebut, pendidikan negara diharap dapat melahirkan generasi yang cekap, berdaya saing dan berintegriti,” tambahnya.

Program berkenaan turut menampilkan Pengarah Pendidikan (JPNS), Puan Khalidah binti Haji Omar, sebagai ahli panel jemputan yang membincangkan secara terperinci strategi pelaksanaan RPM 2026-2035.

Seramai 250 peserta menghadiri program itu yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk penjawat awam, pesara guru, Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Majlis Guru Besar Malaysia (MGB), golongan belia dan mahasiswa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta wakil penglibatan ibu bapa, komuniti dan pihak swasta (PIBKS).

Show More

Related Articles

Back to top button