BeritaMenarik

Kerajaan Negeri Sembilan kekal beri subsidi bekalan air, kadar baharu tidak beban rakyat

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan kekal memberikan subsidi, walaupun akan ada kenaikan tarif air berkuatkuasa 1 Februari ini.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, pelarasan tarif air domestik kali terakhir dilaksanakan di Negeri Sembilan adalah pada tahun 2002 iaitu 22 tahun yang lalu.

“Kadar baharu yang ditetapkan dipastikan tidak membebankan rakyat.

“Kerajaan Negeri memang memberikan subsidi bekalan air bagi kegunaan domestik dengan 20 meter padu pertama kadarnya adalah 55 sen tetapi kosnya RM1.10.

“Ini bermakna 50 peratus kos disubsidi oleh Kerajaan Negeri,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata, adalah wajar untuk tarif air disemak semula kerana kos operasi bekalan air di Negeri Sembilan juga meningkat.

“Masalah paip pecah, bocor, aset dan infrastruktur bekalan air yang uzur dan berusia serta sistem rawatan dan agihan bekalan air yang perlu ditambah baik dari semasa ke semasa perlu untuk memastikan bekalan air terawat kepada pengguna sentiasa berterusan dan mematuhi piawaian yang ditetapkan.

“Ramai yang merungut apabila paip pecah dan bekalan air terputus.

“Tetapi untuk berbelanja (pembangunan infrastruktur bekalan air), Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) tidak mempunyai kekuatan (keuntungan).

“SAINS hanya untung RM500,000, RM1 juta, hanya sekadar itu,” jelas Aminuddin.

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button