Lembaran baharu untuk pendidikan negara

PUTRAJAYA: Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 telah diluncurkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, rancangan ini bukan sekadar dokumen, tetapi ia adalah hala tuju pendidikan negara untuk 10 tahun yang mendatang.
Turut diumumkan beberapa prakarsa penting untuk meningkatkan mutu pendidikan negara.
1. Matriks Pembelajaran Malaysia untuk mengukur pencapaian murid Tahun 4 dan Tingkatan 3 secara berpusat.
2. Peluang untuk murid berusia enam tahun masuk ke Tahun 1 secara sukarela.
3. Mewajibkan murid warganegara di semua sekolah termasuk sekolah persendirian dan sekolah antarabangsa untuk mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah mengikut kurikulum kebangsaan.
4. Peruntukan RM100 juta untuk naik taraf dan baik pulih bilik guru di sekolah-sekolah seluruh negara.
5. Reformasi Sekolah Kebangsaan.
6. Pelaksanaan pendidikan TVET menerusi pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027.
Dalam pada itu Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, beliau yakin rancangan ini juga dapat menjadi asas penting kepada pembangunan belia Malaysia, melahirkan generasi yang bukan sekadar cemerlang dalam akademik tetapi berdaya saing, berkarakter, berfikir kritikal dan bersedia menghadapi dunia yang bergerak pantas.
“Pendidikan hari ini bukan lagi tentang peperiksaan semata-mata. Ia tentang membina kepimpinan, nilai integriti, kemahiran masa depan dan semangat kesukanan.
“Menerusi kerjasama erat antara kerajaan, pendidik, ibu bapa, pemegang taruh dan golongan belia sendiri, rancangan ini akan menjadi pemangkin kepada Malaysia yang lebih progresif, inklusif dan berdaya tahan menjelang 2035.
“Sekali lagi, tahniah dan syabas. Semoga usaha murni ini menjadi legasi terbaik untuk anak-anak Malaysia,” kata Taufiq.



