Berita

Malaysia Car of the Year Awards 2025: Kenderaan masa depan mampu dimiliki

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof telah menghadiri Malaysia Car of the Year (MCOTY) Awards 2025 — sebuah platform yang bukan sekadar meraikan kenderaan terbaik, tetapi mencerminkan visi, inovasi dan hala tuju masa depan industri automotif negara.

Beliau berkata, kemajuan bukan hanya tentang teknologi baharu, tetapi tentang keberanian untuk berubah, keupayaan menyesuaikan minda, serta membuat keputusan hari ini demi masa depan yang lebih lestari.

“Seiring perjalanannya, MCOTY telah berkembang sebagai penanda aras kecemerlangan, merangkumi prestasi, keselamatan, kelestarian dan teknologi — mencerminkan sejauh mana industri automotif Malaysia telah melangkah, dan kesediaannya untuk terus maju ke hadapan.

“Industri automotif kekal sebagai antara tunjang utama sektor pembuatan negara.

“Ia bukan sekadar pemasangan kenderaan, tetapi satu ekosistem menyeluruh yang melibatkan jurutera, vendor, pereka, penyedia logistik dan tenaga kerja mahir — semuanya menyumbang kepada daya tahan industri nasional.

“Dalam masa yang sama, peralihan ke arah mobiliti rendah karbon menuntut pendekatan yang realistik, inklusif dan berperingkat. Peralihan berskala besar tidak boleh berlaku secara tergesa-gesa.

“Yang penting ialah kemajuan yang praktikal, selari dengan realiti ekonomi, kesiapsiagaan teknologi dan kesan social,” jelas Fadillah.

Menurut beliau lagi, di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), sektor automotif berada di teras peralihan mobiliti Malaysia.

Prinsip keselamatan, kemampuan dan kelestarian terus menjadi asas — kerana peralihan yang tidak selamat atau tidak mampu tidak akan pernah mampan.

“Kenderaan masa depan bukan sahaja perlu bersih dan canggih, tetapi juga mampu dimiliki, disokong oleh sistem tenaga yang kukuh, infrastruktur yang bersedia dan bakat tempatan yang berkemahiran.

“Tahniah kepada semua pemenang dan penerima anugerah. Pengiktirafan malam ini amat bermakna, namun komitmen berterusan terhadap pelaburan dan inovasi di Malaysia merupakan legasi yang lebih besar untuk negara.

“Semoga usaha kita hari ini menjadi warisan yang membanggakan untuk generasi akan datang — membina industri automotif yang berdaya saing, berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan, sambil menyediakan mobiliti yang lebih bersih, selamat dan mampu milik untuk semua rakyat Malaysia,” kata Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Show More

Related Articles

Back to top button