Malaysia sebagai dian terhadap citra keamanan

Kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Kuala Lumpur pada 26 Oktober lepas sempena Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat ke-13 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 atas jemputan 10 pemimpin negara ASEAN mendapat reaksi yang pelbagai dari seluruh rakyat Malaysia.
Polemik kehadiran pemimpin Amerika Syarikat ke Kuala Lumpur dimulakan dengan kritikan dari segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan sambutan yang diberikan kepada pemimpin tersebut sejurus sahaja tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Presiden Amerika Syarikat tersebut disambut dengan penuh istiadat dan irama zapin oleh penari tradisional, sambutan meriah ini dikritik sebagai di luar budaya tempatan dan berlebihan.
Namun perlu diingat bahawa budaya Melayu yang sangat memuliakan tetamu telah merekodkan bahawa Tarian Lenggok sering dipersembahkan dalam Istana Diraja Perak untuk menyambut tetamu kehormat atau jemputan luar negeri, justeru sambutan yang dilakukan terhadap Presiden Amerika Syarikat tersebut bukanlah sesuatu yang luar biasa dari adat Melayu nusantara.
Kritikan paling serius dilemparkan terhadap Kerajaan MADANI hasil dari kedatangan Presiden Amerika Syarikat ke Kuala Lumpur adalah apabila termeterainya perjanjian penting antara Malaysia dan Amerika Syarikat terkait perdagangan yang dinamakan sebagai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia ‑ AS (ART 2025).
Kerajaan MADANI dituduh telah menggadaikan kedaulatan Malaysia apabila bersetuju memeterai perjanjian tersebut dengan Amerika Syarikat, perjanjian tersebut dianggap berat sebelah dan merugikan Malaysia oleh segelintir pengkritik.
Namun harus kita sedar bahawa jaminan pertama yang telah diberikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) selaku Perdana Menteri di Dewan Rakyat adalah perjanjian tersebut mengandungi klausa keluar (exit clause) yang membolehkan Malaysia menarik diri daripada perjanjian tersebut jika perlu, klausa tersebut tercatat pada Artikel 5.1.1 dalam ART 2025.

Justeru kerajaan bukanlah diikat tanpa ruang untuk mengundur diri dari perjanjian tersebut jika ia benar-benar memberi kesan negatif terhadap kedaulatan Malaysia, MITI telah mengambil masa kira-kira lima bulan untuk memastikan bahawa perjanjian tersebut tidak memberi impak negatif terhadap kedaulatan Malaysia.
Hasil paling nyata yang diperolehi oleh Malaysia melalui termeterainya ART 2025 adalah penurunan kadar tarif eksport Malaysia ke Amerika Syarikat pada kadar 19 peratus, sebelum ini Amerika Syarikat bercadang untuk mengenakan tarif sebanyak 25 peritus ke atas semua barangan dari Malaysia mulai 1 Ogos 2025.
ART 2025 juga turut menguntungkan Malaysia apabila Amerika Syarikat bersetuju untuk memberi pengecualian tarif terhadap 1,711 komoditi utama Malaysia (minyak sawit, getah, koko, komponen aeroangkasa dan farmaseutikal) dan pengecualian ini meberi keuntungan nilaian eksport untuk Malaysia bernilai RM22 bilion.
Perdagangan dengan Amerika Syarikat perlu terus dipertahankan walaupun pada masa kini Malaysia mempunyai rakan dagang yang lebih utama iaitu China.
Kerajaan MADANI bertindak bijak untuk tidak bergantung kepada mana-mana kuasa besar dunia dalam perdagangan bagi memastikan kedaulatan Malaysia tidak akan dikawal oleh mana-mana pihak.
Laporan oleh Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) menunjukkan bahawa pada tahun 2024 jumlah dagangan Malaysia-China adalah pada kadar 16.8 peratus, manakala dagangan Malaysia-Amerika pula pada kadar 11.3 peratus.

Malaysia sentiasa mempunyai pilihan untuk mempertingkatkan dagangan dengan China apabila Amerika Syarikat membuat keputusan untuk mengenakan tarif ke atas perdagangan dengan Malaysia, namun kebijaksanaan Kerajaan MADANI mengurus kesan geo-politik dalam isu ekonomi telah menyelamatkan kedaulatan Malaysia untuk jangka masa panjang.
Seluruh rakyat Malaysia harus sedar bahawa sehingga kini China masih menuntut beberapa kawasan melibatkan Sabah dan Sarawak melalui nine‑dash line, Kerajaan MADANI terus tegas mempertahankan kedaulatan Malaysia walaupun mendapat tekanan untuk mengiktiraf tuntutan China tersebut.
Justeru Kerajaan MADANI sentiasa bijak mengimbangkan kebergantungan ekonomi dan perdagangan dengan China bagi memastikan penguasaan China tidak berlaku terhadap masa depan dan kedaulatan negara tercinta ini.
Keberadaan Amerika Syarikat dalam urusan perdagangan dan ekonomi Malaysia memberi isyarat kepada China bahawa Malaysia tidak mudah dipermainkan kerana masih mempunyai hubungan dengan kuasa besar dunia lain.
Secara kesimpulannya Kerajaan MADANI telah melakukan yang terbaik bagi memastikan ART 2025 tidak menjadi alat penjajahan kuasa asing ke atas kedaulatan Malaysia, ketelusan Kerajaan MADANI telah ditonjolkan apabila perjanjian tersebut telah dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibahaskan.
Rakyat perlu bertenang dan mengkaji isu ini secara rasional dan berfakta, sekiranya benar dapat dibuktikan bahawa ART 2025 membawa kemudaratan terhadap Malaysia, maka PMX telah memberi jaminan bahawa Malaysia sentiasa mempunyai ruang untuk menarik diri daripada perjanjian tersebut.
Dr. Mohd Fauzi Fadzil
Pensyarah Kanan Pengajian Umum
Universiti Poly-Tech Malaysia




