Berita

MTEN Teliti Kesan Krisis Global, Utama Lindungi Rakyat

SEREMBAN: Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan terus meneliti kesan krisis tenaga global dengan memberi fokus utama melindungi rakyat serta menjamin keterjaminan bekalan strategik negara.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha membanteras ketirisan dan penyeludupan akan terus diperkukuh melalui pemantauan rantaian bekalan yang lebih ketat.

“Selain itu, pelaksanaan Ops Tiris 4.0 dijalankan secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial, hari ini.

Menurutnya, Kerajaan MADANI turut memberi keutamaan kepada keterjaminan bekalan ubat dan peranti perubatan melalui pemantauan stok berpusat, kepelbagaian sumber import serta pelan kecemasan bagi memastikan keperluan kritikal sentiasa mencukupi.

“Bagi jangka panjang, kerajaan akan memperkukuh stok penimbal strategik, membangunkan industri tempatan serta merangka dasar menyeluruh melalui MyMedSecure.

“Selain itu, MTEN turut meneliti operasi haji melibatkan 31,600 jemaah Malaysia dengan keutamaan diberikan kepada aspek keselamatan dan kebajikan mereka,” tambahnya.

Anwar menegaskan, kerajaan akan terus bertindak secara tersusun dan bertanggungjawab dalam mengurus krisis berkenaan agar rakyat terus dilindungi serta negara kekal berdaya tahan.

Show More

Related Articles

Back to top button