Berita

Negeri Sembilan bangun hab halal berteknologi AI yang pertama di Malaysia

SEREMBAN: Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) dengan Syarikat Gobuilders Netsoft Sdn Bhd telah menandatangani satu perjanjian bagi merealisasikan pembinaan dan pengoperasian sebuah Fasiliti Penyimpanan Sejuk Beku Halal Bersepadu yang akan dikenali sebagai REGIONAL HALAL DISTRIBUTION CENTRE (RHDC) seluas 13.4 ekar di Bandar Enstek.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, pembinaan RHDC bernilai RM400 juta ini akan menjadi tumpuan pengusaha-penguasaha produk halal yang terlibat dalam proses pemasaran produk-produk halal di seluruh dunia.

“Regional Halal Distribution Centre (RHDC) ini akan dibina dan dilengkapi dengan Teknologi Automasi, Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence) dan Sistem Pengurusan Pintar bagi memaksimumkan kecekapan operasi serta mengawal kos secara berkesan.

“Inilah kelebihan di RHDC dan yang membezakannya dengan fasiliti-fasiliti yang sedia ada di Malaysia.

“Penggunaan teknologi semasa yang canggih akan menjadikan RHDC sebagai pusat fasiliti yang dapat memenuhi permintaan pelanggan dengan lebih berkesan,” kata Aminuddin.

Aminuddin tambah, kelebihan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang terkenal dengan Pensijilan Halal yang terbaik dan diyakini, maka Kerajaan Negeri Sembilan melalui PKNNS melihat potensi projek ini wajar diberikan keutamaan dan disokong lebih-lebih lagi keupayaan syarikat pelabur untuk melaksanakan projek ini amat meyakinkan.

“Ini secara langsung akan memperkukuhkan lagi usaha Kerajaan Negeri dalam mempromosikan Industri Halal di dalam kawasan MVV 2.0 yang akan menjadi tarikan pelabur dari seluruh dunia yang terlibat dengan produk-produk yang memerlukan pensijilan halal.

“Kemudahan fasiliti dan perkhidmatan yang akan ditawarkan nanti, ini akan menjadikan Negeri Sembilan magnet kepada Industri Halal bukan sahaja dari rantau asia, bahkan tidak mustahil akan menjadi tumpuan dari seluruh dunia.

“Jika bangunan pencakar langit seperti KLCC atau Menara Merdeka dibangunkan bagi memetakan Malaysia di peta dunia, maka usaha dan fokus Kerajaan Negeri Sembilan membangunkan Hab Halal adalah bagi memetakan Negeri Sembilan dalam peta dunia kerana permintaan kepada produk-produk halal bukan sahaja dari negara – negara Islam di Timur Tengah, bahkan telah menjadi permintaan dari negara-negara di seluruh dunia,” ulas Aminuddin.

Menurut Aminuddin, projek seperti ini mesti direalisasikan dan Kerajaan Negeri akan terus menyokong dengan pelbagai insentif-insentif yang akan memudahkan urusan pelabur bagi menyiapkan projek ini dengan lancar.

“Hal ini selari dengan objektif utama projek iaitu bagi memperkukuhkan rantaian bekalan makanan halal di Negeri Sembilan di samping meningkatkan daya saing industri, memperluas pasaran antabangsa dan mengekalkan integriti pensijilan halal.

“Saya berharap PKNNS dan Syarikat Gobuilders Netsoft Sdn Bhd dapat merealisasikan usaha ini dan seterusnya mengangkat jenama Industri Halal dalam kawasan MVV 2.0,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, selain menyediakan infrastruktur moden, sudah pasti projek ini juga akan membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada penduduk setempat dan rakyat Negeri Sembilan.

“Ini adalah syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri sebagai usaha memastikan peluang perkerjaan disediakan untuk anak-anak Negeri Sembilan.

“Kita bangunkan banyak kawasan Industri di Negeri Sembilan untuk menarik semula anak-anak Negeri Sembilan untuk “Menetap di Negeri Sembilan, Bekerja di Negeri Sembilan dan Beriadah di Negeri Sembilan”.

“Usaha ini akan menjadikan bilangan penduduk Negeri Sembilan terus bertambah dan sekaligus memberi kesan yang baik kepada ekonomi negeri ini,” jelas Aminuddin.

Aminuddin berkata, melalui pembangunan fasiliti RSDC ini juga, ia akan menjadi katalis kepada pelaburan baharu ke Negeri Sembilan terutamanya kepada pemain-pemain industri Halal yang banyak mengeksport produk mereka ke negara-negara timur tengah.

“Bahkan hari ini kita dimaklumkan permintaan produk-produk halal sudah mendapat permintaan yang tinggi di negara-negara Eropah, Rusia, Kanada, Jepun dengan nilai pasaran mencecah trilion Ringgit,’ katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button