Berita

Negeri Sembilan belanja RM3.08 juta bagi pembangunan Stadium Bola Ngoca Kuala Pilah

KUALA PILAH: Sejak tahun 2021 hingga tahun 2024, Kerajaan Negeri Sembilan telah membelanjakan RM3.08 juta bagi pembinaan dan pembangunan Stadium Bola Ngoca Kuala Pilah di Perkampungan Budaya Terachi.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, Stadium Bola Ngoca Kuala Pilah di tapak sawah padi merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia.

“Stadium Bola Ngoca Kuala Pilah merupakan sebuah mercu tanda kebanggaan kita bersama.

“Inilah bukti nyata bagaimana sebuah cita-cita kecil direalisasikan dengan usaha yang gigih semua pihak untuk menjadi realiti.

“Saya menyeru semua badan kerajaan, swasta, persatuan, dan komuniti untuk bersama-sama memanfaatkan fasiliti yang hebat ini.

“Marilah kita mengadakan program, pertandingan, dan aktiviti yang bersesuaian untuk menghidupkan lagi legasi Bola Ngoca kita,” kata Aminuddin semasa Perasmian Pesta Bola Ngoca di sini.

Dalam pada itu Aminuddin mengumumkan ‘Ngoca Kuala Pilah’ telah mendapat kelulusan Cap Dagang daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

“Pada 8 Januari 2025 yang lalu, kita telah mencipta satu sejarah baharu.

“Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) telah secara rasminya meluluskan permohonan Cap Dagang bagi jenama ‘Ngoca Kuala Pilah’.

“Hari ini, kita menyambut kelahiran rasmi sebuah jenama kebanggaan kita.

“Pencapaian ini tidak akan terlaksana tanpa komitmen dan kerjasama erat semua pihak,” ujar Aminuddin.

Aminuddin merakamkan penghargaan kepada Pasukan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah yang telah berusaha dan pihak MyIPO atas bimbingan serta kelulusannya.

“Ini hanyalah permulaan. Perjalanan kita untuk membangunkan dan mengangkat Ngoca Kuala Pilah ke persada yang lebih tinggi masih panjang.

“Marilah kita bersama-sama menjayakan misi ini. Gunakanlah jenama ini dengan penuh bangga dan tanggungjawab.

“Bersama kita jadikan Kuala Pilah dan Negeri Sembilan sebagai destinasi yang tidak dapat dilupakan.,” jelas beliau.

Sementara itu, sebanyak 90 pasukan dari seluruh negara bertanding pada tahun ini.

Bagi sukan bola sepak sawah, juara pasukan lelaki akan membawa pulang RM15,000.

Manakala bagi sukan bola baling sawah yang mendapat penyertaan sebanyak 32 pasukan dari seluruh negara, juara pasukan wanita pula akan menerima RM8,000.

Selain itu, pelbagai acara sampingan turut dipertandingan seperti acara tangkap itik, ngoca ikan, menyumpit, gusti bantal, basikal titi dan tarik tali ngoca.

Manakala acara baru yang diperkenalkan pada tahun ini ialah imbang balak dan titi hayun.

Aminuddin berharap semua acara dapat berlangsung dengan sihat dan penuh semangat kesukanan dan persahabatan.

Selain itu, terdapat juga penyertaan peserta daripada luar negara melibatkan tiga pasukan bagi bola sepak sawah iaitu penyertaan daripada pasukan Pakistan, Kashmir dan Indonesia.

Pada tahun ini, Kerajaan Negeri Sembilan melancarkan Maskot dan Lagu sempena Pesta Bola Ngoca 2025 sebagai elemen merancakkan promosi pelancongan ke Kuala Pilah dan Negeri Sembilan amnya.

“Selain membudayakan sukan dalam masyarakat setempat, tujuan program ini adakan sebenarnya adalah untuk meransang ekonomi negeri.

“Tahniah diucapkan kepada peniaga yang berjaya mendapat tempat untuk menjalankan perniagaan di pesta ini. Berniagalah dengan sebaiknya.

“Dalam pada itu kesemua hotel dan homestay di Kuala Pilah habis ditempah oleh peserta Pesta Bola Ngoca ini selama dua hari program berlangsung seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Di samping itu, terdapat juga Karnival KPDN Negeri Sembilan selama dua hari di sini antaranya Program Jualan Rahmah MADANI dengan menawarkan harga barangan dapur dan makanan lebih murah dari harga pasaran serta pelbagai acara menarik di khemah mereka,” kata Aminuddin.

Show More

Related Articles

Back to top button