Berita

Negeri Sembilan Laksana BDR Dua Hari Seminggu Mulai 15 April

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) selama dua hari seminggu bagi penjawat awam negeri bermula 15 April 2026.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, kira-kira 6,000 penjawat awam dijangka memanfaatkan pelaksanaan itu yang bertujuan mengurangkan beban perjalanan harian selain meningkatkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan tanpa menjejaskan produktiviti perkhidmatan awam.

Menurutnya, pelaksanaan berkenaan juga selaras dengan pendekatan Kerajaan Persekutuan dalam menangani tekanan kos sara hidup serta ketidaktentuan ekonomi global ketika ini, khususnya melibatkan kenaikan kos bahan api dan perbelanjaan harian rakyat.

“Keputusan ini dipersetujui dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini sebagai langkah fleksibel tanpa menjejaskan kelancaran pentadbiran,” katanya kepada pemberita pada sidang media pasca Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Sembilan, di sini.

Beliau berkata, BDR akan dilaksanakan pada hari Selasa, Rabu atau Khamis dengan setiap penjawat awam perlu membuat penjadualan.

“Kemudahan ini diberikan kepada pegawai yang mempunyai jarak perjalanan melebihi lapan kilometer dari rumah ke pejabat,” katanya.

Dalam pada itu, semua pejabat awam diwajibkan beroperasi secara fizikal pada hari Isnin dan Jumaat.

Pelaksanaan tersebut melibatkan semua jabatan, agensi serta daerah di bawah pentadbiran kerajaan negeri, merangkumi sektor pengurusan dan pentadbiran serta sektor operasi.

“Bagi sektor pengurusan dan pentadbiran seperti kewangan dan sumber manusia, BDR tertakluk kepada kelulusan ketua jabatan.

“Manakala bagi sektor operasi yang melibatkan pegawai teknikal, sistem penggiliran akan dilaksanakan bagi memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus kakitangan sentiasa berada di lapangan atau pejabat,” tambahnya.

Bagaimanapun, sektor keselamatan, kesihatan dan pendidikan tidak terlibat dalam pelaksanaan itu termasuk petugas kaunter yang perlu kekal beroperasi secara fizikal.

Tambah beliau, kelulusan BDR bagi pegawai kumpulan pengurusan dan profesional perlu mendapat pertimbangan Setiausaha Kerajaan Negeri terlebih dahulu dan tidak diberikan secara automatik.

“Pegawai juga diberi fleksibiliti sama ada mahu menggunakan kemudahan ini atau terus bekerja sepenuhnya di pejabat,” katanya.

Menurutnya, kehadiran akan dipantau secara elektronik melalui sistem SPOT-ME atau Google Live Location.

Keputusan itu turut diperluaskan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri, tertakluk kepada penerimaan agensi masing-masing.

Aminuddin menegaskan, pelaksanaan BDR tersebut boleh ditarik balik pada bila-bila masa sekiranya didapati menjejaskan keberkesanan pentadbiran negeri.

Show More

Related Articles

Back to top button