Negeri Sembilan pastikan kadar tarif air bagi B40 terendah di Malaysia

SEREMBAN: Kenaikan tarif air yang dilaksanakan oleh Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) adalah bagi memastikan kesinambungan pelaburan dalam projek-projek penaiktarafan, serta bagi menampung kos operasi dan penyelenggaraan yang semakin meningkat.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun (PH-Sikamat) berkata, walau bagaimanapun Kerajaan Negeri telah memastikan kadar tarif air bagi kumpulan B40 dan pengguna domestik berpendapatan rendah masih kekal antara yang terendah di Malaysia.
“Langkah-langkah penaiktarafan yang dilaksanakan ini dijangka dapat meningkatkan tahap kepuasan pengguna melalui penambahbaikan kualiti bekalan air, pengurangan gangguan, serta pengurusan sistem yang lebih cekap dan telus,” ujar beliau.
Aminuddin menjelaskan Kerajaan Negeri melalui SAINS sentiasa komited dalam memastikan perkhidmatan bekalan air yang berkualiti, stabil dan mampan dapat dinikmati oleh semua pengguna di seluruh Negeri Sembilan, termasuk di kawasan luar bandar.
Penaiktarafan dan penambahbaikan yang sedang serta telah dilaksanakan adalah seperti berikut:
1. Projek Pembinaan Loji Rawatan Air Baharu:
• Loji Rawatan Air Ngoi-Ngoi Fasa 2 berkapasiti 150 Juta liter sehari dan Loji Rawatan Air Kampung Barisan Fasa 1 berkapasiti 150 Juta liter sehari sedang dibangunkan bagi meningkatkan kapasiti bekalan air terawat untuk menampung keperluan kawasan Seremban dan Port Dickson.
• Projek-projek ini akan memastikan tekanan air dan kapasiti agihan di kawasan berkenaan dapat dipertingkat secara berperingkat.
2. Program Pengurangan Air Tidak Berhasil (Non-Revenue Water – NRW):
• Pelaksanaan program Active Leakage Detection (ALD), pembinaan District Metering Zone (DMZ) serta penggantian paip lama secara berperingkat sedang giat dilaksanakan bagi mengurangkan kadar NRW yang kini menjadi antara punca gangguan bekalan.
• Usaha ini turut disokong oleh penggunaan sistem Telemetri bagi pemantauan tekanan dan aliran secara masa nyata.
3. Naik Taraf Infrastruktur Agihan dan Tangki Simpanan Air:
• Beberapa tangki dan rumah pam akan dinaik taraf bagi meningkatkan keupayaan sistem agihan, khususnya di kawasan berbukit dan luar bandar yang sering mengalami tekanan rendah.
• Penambahan tangki simpanan baharu juga dirancang di kawasan kritikal bagi menambah rizab bekalan.
Aminuddin berkata demikian semasa menjawab soalan ADUN Serting, Mohd Fairuz Mohd Isa (PN) di Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15.



