Negeri Sembilan yang pertama sedia Pelan Pengurusan Kewangan MADANI

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan dalam menghayati prinsip-prinsip teras MADANI telah mengorak langkah dengan menyediakan Belanjawan Tahunan menggunakan pendekatan pengurusan kewangan MADANI berdasarkan kepada Pelan Pengurusan Kewangan MADANI 2025 – 2030 yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 20 September 2023 dan telah diluncurkan secara rasminya pada 26 Oktober 2024 yang lalu oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia.
Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, Negeri Sembilan merupakan negeri yang pertama menyediakan Pelan Pengurusan Kewangan MADANI di negara ini.
Pelan Pengurusan Kewangan MADANI telah menggariskan sebanyak 49 inisiatif dan strategi untuk dilaksanakan dalam tempoh 2025 hingga 2030.
“Untuk itu, saya telah mengumumkan cita-cita besar Negeri Sembilan untuk mencapai hasil RM1 bilion pada tahun 2030, Insya Allah.
‘Keyakinan ini bukanlah hanya impian semata-mata.
“Tetapi berdasarkan rekod kejayaan dan pencapaian yang telah dibuktikan sepanjang pentadbiran ini.
“Sebagai contoh, seiring dengan pertumbuhan progresif nasional, Negeri Sembilan turut merekodkan pertumbuhan positif KDNK sebanyak 1.8 peratus pada tahun 2023 dengan nilai sebanyak RM51.9 bilion berbanding RM50.9 bilion pada tahun 2022,” kata Aminuddin.
Menurut Aminuddin lagi, kadar pengangguran di Negeri Sembilan juga menurun 0.2 peratus kepada 3.2 peratus pada tahun 2023 berbanding 3.4 peratus pada tahun sebelumnya.
“Begitu juga dengan usaha membasmi kemiskinan tegar yang telah merekodkan bahawa Negeri Sembilan antara negeri yang berjaya mencapai sifar miskin tegar pada tahun 2023 dan 2024.
“Selain itu, Penyata Kewangan Negeri Sembilan Tahun 2023 juga telah dibentangkan di Parlimen dengan Sijil Bersih Tanpa Teguran oleh Ketua Audit Negara.
“Suka saya kongsikan, Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Sembilan telah berjaya memperolehi Sijil Bersih Tanpa Teguran oleh Ketua Audit Negara sejak tahun 2017 lagi sehinggalah tahun 2023,” ujar beliau.
Aminuddin tambah, ini adalah usaha gigih pasukan Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri selaku peneraju utama pengurusan kewangan di Negeri ini kerana telah menguruskan kewangan negeri dengan baik.
“Maka, atas setiap usaha-usaha tersebut, bagi tahun 2024, hasil negeri telah berjaya dikutip berjumlah RM636 juta bersamaan 122.31 peratus berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu RM520 juta.
“Ini menjadikan Negeri Sembilan berjaya mencatat rekod surplus bagi tiga tahun berturut-turut.
“Hakikatnya, semua ini tidak akan berjaya sekiranya tiada kerjasama dan komitmen yang tinggi dari semua penjawat awam Negeri Sembilan.
“Tidak ada seorang pun yang tertinggal dalam menjayakan usaha ini.
“Oleh itu, saya menyeru agar kita sama-sama berganding bahu, memikul amanah ini dengan ikhlas dan jujur supaya harapan rakyat terhadap Kerajaan Malaysia MADANI akan dapat ditunaikan,” kata Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian di Majlis Perasmian Penutup Program Jelajah Taat Setia MADANI Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Mohd Zafir Ibrahim.