Noorzunita merasmikan Istiadat Konvokesyen Kolej UNITI ke-22

BANGI: Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Pilah, Dato’ Noorzunita Begum telah menghadiri jemputan bagi merasmikan dan menyampaikan penganugerahan diploma sempena Majlis Istiadat Konvokesyen Kolej UNITI Kali Ke-22 yang berlangsung di Bangi Avenue Convention Center pada pagi Ahad semalam.
Majlis berprestij itu turut dihadiri oleh Dato’ Jamal Mohd Amin, Presiden Kolej UNITI serta En. Amir Hamzah Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI yang bersama-sama meraikan detik bermakna buat para graduan.
Sebanyak 686 graduan menerima diploma masing-masing pada majlis tersebut sebagai tanda kejayaan menamatkan pengajian dengan penuh kegigihan, ketabahan dan usaha tanpa jemu.
Dalam ucapannya yang dikongsikan menerusi laman Facebook, Noorzunita merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan atas pencapaian mereka serta menyampaikan penghargaan kepada ibu bapa, ahli keluarga dan warga pensyarah yang menjadi tulang belakang kejayaan setiap pelajar.
Beliau turut menzahirkan pujian terhadap usaha Kolej UNITI sebuah institusi pendidikan yang kini berusia 28 tahun kerana terus komited menawarkan pendidikan berkualiti melalui 16 program diploma yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan selaras dengan keperluan industri masa kini.
Tambah beliau, usaha Kolej UNITI membangunkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek adalah selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan wajar diteruskan dalam melahirkan generasi berilmu serta berakhlak mulia.
“Saya berharap semua graduan hari ini akan menjadi generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing yang mampu mencorakkan masa depan negara dengan cemerlang,” katanya.
Majlis tersebut diakhiri dengan sesi bergambar bersama para graduan sebagai simbol penghargaan dan sokongan terhadap kejayaan mereka menempuh dunia pendidikan dengan jayanya.