Pelan insurans/takaful perubatan baharu bakal diperkenalkan

Kerajaan MADANI amat cakna dan mendengar keluhan rakyat berhubung peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta serta kenaikan premium insurans yang membebankan.
Justeru, kerajaan mengambil langkah tuntas melalui strategi RESET.
Ini merupakan pendekatan ‘Whole-of-Nation’ yang menggembeleng tenaga antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Kewangan (MOF), Bank Negara Malaysia (BNM) serta pemain industri bagi menjadikan sektor kesihatan swasta lebih mampan, telus dan mudah diakses.
Hasil Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Mengenai Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) kali ke-3 hari ini telah mencapai beberapa ketetapan penting:
Pelan Asas MHIT (Medical and Health Insurance/Takaful):
Mesyuarat bersetuju untuk menerbitkan Kertas Putih (White Paper) bagi pelan yang seragam (standardized), mampu milik, dan bersifat sukarela ini.
Ia bakal diluncurkan di seluruh negara pada tahun 2027 sebagai pelengkap kepada liputan kesihatan sedia ada.
Pemerkasaan Pengguna (Consumer Empowerment):
Bagi memastikan rakyat dapat membuat pilihan yang tepat (informed choices), kami akan melancarkan panduan “MHIT Made Simple”, kalkulator pengiraan, serta menerbitkan julat harga bagi 26 prosedur perubatan umum. Ketelusan harga adalah kunci.
Pendigitalan (Digitalisation):
Sepertimana yang saya tegaskan dalam Amanat Tahun Baharu 2026, kita sedang melalui fasa pendigitalan penuh.
Keutamaan kini adalah pada kesalinghubungan EMR (EMR interoperability) bagi mengelakkan pertindihan ujian diagnostik yang tidak perlu dan menelan kos tinggi.
Strategi RESET ini adalah usaha untuk memperluas akses dan pilihan kepada rakyat.
Namun, sistem kesihatan awam kekal sebagai tunjang utama (bedrock) negara.
Komitmen kami terhadap akses kesihatan sejagat (universal access) tidak akan sesekali goyah.
Dengan memodenkan sektor swasta, kita sedang membina satu ekosistem kesihatan yang lebih teguh, adil, dan mampan demi kesejahteraan setiap keluarga di Malaysia.
Dato’ Seri Dr.Dzulkefly Ahmad,
Menteri Kesihatan.



