Pembangkang guna nama Petronas takutkan rakyat

Pembangkang ada taktik baru, guna nama PETRONAS untuk takut-takutkan rakyat.
Terbaru, kononnya saya sedang merancang formula baru untuk hapuskan monopoli PETRONAS dalam industri gas.
Cerita sebenarnya bosan dan tak de drama, tapi bila didongengkan, ada juga yang terpedaya. Popular jap PETRONAS.
Kementerian Ekonomi dalam proses akhir memuktamadkan Pelan Hala Tuju Gas Negara, yang akan dilancarkan tahun ini.
Bukan untuk memangsakan PETRONAS, tetapi untuk mengurangkan beban PETRONAS di masa depan.
Sebenarnya sekarang ini, mana-mana syarikat pun boleh saja mengimport gas asli cecair (atau LNG) untuk dijual ke pasaran.
Infrastruktur regassification dan paip gas memang dimiliki PETRONAS, tetapi sebab kita ada kerangka akses kepada pemain industri melalui akses pihak ketiga, mana-mana syarikat boleh mengimport LNG dan dijual ke pasaran.
Masalahnya, syarikat lain tidak berminat. Hampir keseluruhan pengimportan LNG ke pasaran domestik dibuat oleh PETRONAS.
Perkara ini menimbulkan beban kepada PETRONAS kerana kebergantungan negara kepada PETRONAS semata-mata.
Sekiranya harga yang diimport PETRONAS itu lebih tinggi daripada harga yang dijual kepada pasaran, PETRONAS terpaksa menanggung kerugian.
Pelan Hala Tuju Gas Negara sebenarnya bertujuan untuk merancakkan rantaian nilai gas domestik, memandangkan kita terpaksa import lebih banyak LNG selepas ini kerana pengeluaran gas bagi kegunaan pasaran Semenanjung semakin berkurangan.
Apabila lebih banyak syarikat menceburi perdagangan gas dan mengimport LNG untuk dibekalkan, kedudukan PETRONAS dan negara adalah lebih baik dari beberapa sudut.
Pertama, PETRONAS dapat menjana pendapatan tambahan kerana syarikat itu perlu membayar yuran akses untuk menggunakan infrastruktur gas PETRONAS.
Kedua, risiko PETRONAS berdepan kerugian kerana memikul beban sebagai satu-satunya pengimport LNG juga berkurangan.
Ketiga, bekalan gas lebih terjamin kerana industri gas yang lebih banyak pemain.
Keempat, kita boleh menarik pelaburan baru ke dalam industri gas hiliran.
Saya berada di dalam keluarga PETRONAS sejak dari berumur 18 tahun, iaitu sebagai penerima biasiswa PETRONAS hinggalah umur 32 tahun.
Tak masuk akal orang macam saya nak memangsakan PETRONAS.
Kalau ya pun nak spin, jangan lebih-lebih.
Dato’ Seri Rafizi Ramli
Menteri Ekonomi