Berita

Pencerobohan tanah kerajaan di Mukim Johol, Daerah Kuala Pilah

1. Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah (PDTKP) ingin mengulas mengenai laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 14 April 2025 bertajuk Ceroboh tanah: Individu kecewa layanan dua darjat.
Individu bernama Mohamad Khairul Jamain telah menyatakan beberapa perkara seperti yang dilaporkan dalam akhbar Sinar Harian dan juga hantaran di muka buku (facebook) beliau iaitu Khairul Jamain pada 13 April 2025.
2. Pejabat Daerah dan Tanah merupakan agensi di daerah yang bertanggungjawab antaranya untuk melindungi tanah-tanah Kerajaan daripada diceroboh mengikut peruntukan Kanun Tanah Negara (KTN) [Akta 828] dan PDTKP sentiasa melaksanakan tanggungjawab ini dengan tegas dan berintegriti.
3. Pada 13 Februari 2025, lebih kurang jam 3.15 petang, Unit Penguatkuasaan, PDTKP telah menerima aduan lisan berkenaan aktiviti pencerobohan tanah Kerajaan di Kampung Tering, Johol. Lanjutan daripada aduan yang terima, anggota Penguatkuasa PDTKP telah pergi ke tempat tersebut dan mendapati terdapat sebuah jentera excavator berwarna kuning sedang melakukan kerja-kerja pembersihan tanah di atas tanah Kerajaan (rizab sungai).
Berdasarkan siasatan, didapati kerja-kerja pembersihan tersebut dilakukan tanpa sebarang dokumen kebenaran yang sah sama ada daripada Pihak Berkuasa Negeri atau Pentadbir Tanah Daerah Kuala Pilah.
4. Justeru, pemandu jentera yang juga merupakan pemilik jentera tersebut telah diarahkan untuk menghentikan kerja-kerja di lokasi dan kunci jentera juga diserahkan kepada anggota Penguatkuasa PDTKP.
Jentera tersebut kemudiannya dipindahkan dan ditempatkan di Kompleks Pentadbiran Daerah Kuala Pilah.
5. Perbuatan melakukan kerja-kerja pembersihan tanah atas tanah Kerajaan tanpa sebarang kebenaran yang sah merupakan suatu kesalahan di bawah perenggan 425 (1) (b) KTN dan tindakan perampasan jentera telahpun dijalankan secara teratur mengikut perenggan 426A (1) (b) KTN dan perampasan sedemikian boleh dilakukan tanpa waran.
Jika disabitkan kesalahan pelaku boleh dikenakan denda tidak lebih RM500 ribu atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya.
6. Dakwaan saudara Mohamad Khairul Jamain berkenaan layanan yang tidak adil terhadap kes beliau berbanding kes pencerobohan tanah di Raub, Pahang dan Dengkil, Selangor adalah tidak berasas kerana tatacara tindakan penguatkuasaan dan siasatan telahpun dijalankan secara teratur mengikut lunas undang-undang yang diperuntukkan di bawah KTN.
Malahan PDTKP telah mengambil langkah awal bagi mengelakkan kerosakan yang lebih besar terhadap tanah Kerajaan tersebut.
7. Pentadbiran ini mengambil maklum terhadap keperluan saudara Mohamad Khairul Jamain yang hendak membina laluan bagi tujuan mengakses ke tanah yang dibeli.
Walau bagaimanapun, bagi tujuan tersebut, permohonan perlulah dibuat terlebih dahulu kepada Pentadbir Tanah sebelum kerja-kerja pembersihan tanah melibatkan tanah Kerajaan boleh dijalankan.
8. Kebenaran ini penting untuk memastikan kerja-kerja pembersihan tanah yang dijalankan menepati piawai teknikal oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), lebih-lebih lagi tanah Kerajaan yang terbabit berada dalam rizab sungai Jelai dan termasuk dalam projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang dijangka siap pada tahun 2029.
Kerja-kerja pembersihan tanah yang dijalankan tanpa kawalan dikhuatiri akan memberi kesan buruk kepada penduduk kampung yang telah sekian tahun terpaksa menghadapi kesan banjir.
Oleh itu, PDTKP berharap semua pihak khususnya yang bukan anak tempatan Kuala Pilah mendapat khidmat nasihat terlebih dahulu agar isu tempatan lebih difahami sebelum memulakan sebarang kerja-kerja pembersihan tanah.
9. Turut dilaporkan adalah mengenai pengadu wanita berbangsa Cina yang membuat aduan di PDTKP. Pentadbiran ini akan mengadakan siasatan bilamana sesuatu aduan dilaporkan tanpa mengira bangsa dan agama.
Berdasarkan rekod PDTKP, aduan tanah yang diterima daripada orang awam adalah daripada pelbagai bangsa dan tindakan yang diambil adalah sama dan penyelesaian dilaksanakan berdasarkan fakta kes. Bagi tahun 2025, PDTKP telah menerima 25 aduan yang mana 60% aduan yang diterima adalah daripada bangsa Melayu dan bakinya daripada bangsa Cina.
10. Saudara Mohamad Khairul Jamain dan pemilik jentera excavator melalui peguam mereka telah mengemukakan surat permohonan pengembalian jentera dan penyelesaian hak laluan tanah di atas tanah Kerajaan kepada PDTKP.
Penjelasan telah diberikan kepada pihak peguam dan kedua-dua anak guam secara lisan pada 18 Februari 2025 dan secara bertulis melalui surat bertarikh pada 20 Februari 2025, dihantar melalui e-mel pada 21 Februari 2025.
11. Saudara Mohamad Khairul Jamain telah menghantar e-mel permohonan Kebenaran Untuk Membina Jalan Menggunakan Rizab Sungai ke PDTKP pada 20 Februari 2025 (surat bertarikh 13 Februari 2025).
Tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan pada 13 Februari 2025 iaitu tarikh sebelum PDTKP menerima e-mel permohonan daripada beliau.
Permohonan beliau tetap diproses walaupun pencerobohan telah dilakukan lebih awal. Siasatan tanah telah dilakukan sesuai dengan keadaan dan isu lokasi tersebut dan Pentadbiran ini akan mengeluarkan surat dalam masa terdekat.
Pentadbiran ini akan mencadangkan laluan yang tidak mengganggu projek RTB yang sedang dilaksanakan oleh JPS.
12. Isu akhir yang dibangkitkan adalah mengenai bagaimana seorang bukan Melayu boleh memiliki tanah dalam kawasan rizab melayu. Berdasarkan semakan Pentadbiran ini geran yang dimaksudkan oleh Saudara Mohamad Khairul Jamain bukan berstatus rizab Melayu.
13. Untuk makluman, Kertas Siasatan bagi kes telah dilengkapkan dan akan dikemukakan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.
Sukacita PDTKP ingin menekankan bahawa tindakan penguatkuasaan yang dijalankan ini merupakan suatu tindakan yang sama yang turut dilaksanakan di mana-mana negeri di Semenanjung Malaysia mengikut tatacara yang ditetapkan oleh KTN.
14. Satu laporan polis telah dibuat bagi isu ini bagi memastikan pihak PDRM menjalankan siasatan selanjutnya sekiranya terdapat unsur-unsur fitnah, hasutan atau isu-isu perkauman.
PDTKP menafikan segala tuduhan tidak berasas yang bukan sahaja mencemarkan imej jabatan, malah mengganggu perjalanan siasatan.
15. Pentadbiran Daerah Kuala Pilah selaras hasrat Kerajaan Negeri Sembilan menyambut baik hasrat pembangunan di Kuala Pilah. Namun demikian hasrat tersebut hendaklah selaras dengan peraturan berkuatkuasa dan perbincangan awal amatlah dialu-alukan.
Pencerobohan tanah kerajaan walaupun bagi maksud pembangunan tidak dapat ditoleransi kerana ia adalah amanah rakyat yang perlu dilaksanakan sebaiknya.
Sebarang tohmahan sebaiknya disiasat (Tabayyun) terlebih dahulu.
Pentadbiran ini berharap kerjasama diberikan sebaik mungkin agar kes ini dapat diselesaikan dengan baik.
Terima kasih.
NAWAL MOHAMED AMIN
Pegawai Daerah Kuala Pilah
14 April 2025
Show More

Related Articles

Back to top button