Berita

PM umum peruntukan RM1.27 bilion untuk pembangunan Negeri Sembilan

891 unit rumah PRIMA akan dapat diduduki 1 Jun ini

SEREMBAN: Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan keseluruhan bagi pembangunan di Negeri Sembilan berjumlah RM1.27 bilion.

Anwar berkata, peruntukan tambahan pembangunan sahaja hampir 1 bilion yang merangkumi projek membina jalan baharu dan jambatan baharu, kerja-kerja membaik pulih fasiliti pendidikan dan kesihatan serta penyelesaian projek perumahan mampu milik.

“Pembangunan ekonomi Negeri Sembilan dan tadbir urus berjalan dengan teratur dan bersih. Tahniah kepada Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Projek baharu tahun ini di Negeri Sembilan termasuk membina jalan susur tol baharu dari Seremban ke Lingkaran Tengah Seremban, dengan kos RM600 juta.

“Membina jalan dan jambatan Sungai Sepang bagi menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson dengan Sungai Pelek, Selangor dengan kos RM160 juta.

“Pembinaan fasiliti Kementerian Pendidikan dengan kos RM280 juta termasuk membina semula sekolah daif dan memperkukuhkan pendidikan khas,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam ucapan di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sembilan dan Malaysia Madani di Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS) pada Ahad.

Masjid baharu RM318 juta, Klinik Kesihatan dibaik pulih

Anwar berkata, Kerajaan juga memperuntukkan RM318 juta bagi pembinaan Masjid Terapung Port Dickson; Masjid Kariah Ulu Beranang, Seremban; Masjid Kariah Talang Tengah, Kuala Pilah; Masjid Tunku Munawir Seri Menanti, Kuala Pilah dan Masjid Bongek, Rembau.

“Kerajaan juga akan melaksanakan kerja-kerja membaik pulih (42 kemudahan tambahan) di Klinik Kesihatan yang daif di daerah Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Port Dickson, Rembau, Seremban dan Tampin dengan kos RM5.8 juta.

“Selain itu, isu pembangunan projek 891 unit residensi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di Seremban (Rasah) yang terbengkalai sejak tahun 2015 lalu juga telah diselesaikan dan akan dapat dihuni seawal 1 Jun ini.

“Keseluruhan peruntukan untuk pembangunan sosioekonomi Negeri Sembilan berjumlah RM1.27 juta,” jelas Anwar.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun.

Show More

Related Articles

Back to top button