BeritaMenarik

Port Dickson berpotensi jadi destinasi persinggahan Genting Dream Cruise

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan mengadakan perbincangan dengan agensi-agensi berkaitan, agar pihak Genting Dream Cruise dapat menjadikan Port Dickson sebagai salah satu destinasi persinggahan di samping menawarkan pakej pelancongan yang menarik kepada pelancong.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, YB Nicole Tan Lee Koon berkata, Jeti Penumpang Port Dickson dilihat berpotensi menjadi destinasi persinggahan penumpang kapal Cruise selain daripada Pelabuhan Klang.

“Antara cadangan penambahbaikan adalah dengan menambah kaunter mobil dan pegawai imigresen mengikut keperluan bagi menawarkan perkhidmatan yang lebih efektif dan efisyen di jeti tersebut.
 
“Cadangan perancangan masa hadapan adalah untuk mendalamkan di lembangan hadapan jeti bagi memudahkan kapal Cruise berlabuh rapat,” katanya.

Nicole Tan berkata, Kerajaan Negeri mempunyai cadangan untuk membina pelabuhan kecil secara usahasama syarikat swasta di Port Dickson.

“Pelabuhan ini adalah pelabuhan pintar, ‘niche’ dan tidak bersaing dengan Pelabuhan Klang.

“Ia bakal dijadikan ‘Home Port’ kapal persiaran dan juga ‘feeder port’ atau ‘port on call’ untuk kapal tentera besar.

“Perancangan ini akan banyak membantu dalam usaha untuk menarik syarikat kapal Cruise untuk berlabuh di Port Dickson,” jelas Nicole Tan. 

YB Ng Chin Tsai (Temiang-Pakatan Harapan)

Menurut Nicole Tan, sebelum ini Genting Dream Cruise telah singgah di Port Dickson pada 11 Julai 2022, 14 Julai 2022 dan 27 Oktober 2022 selepas pasca Covid-19.
 
“Pada awalnya Jeti Penumpang Port Dickson dibina adalah untuk memberi perkhidmatan kepada feri dan plan konsep jeti ini adalah mengambil kira kesesuaian feri.

“Kapal Cruise tidak boleh merapat ke jeti ini dan kapal tersebut perlu berlabuh di satu kawasan yang ditetapkan dan menggunakan perkhidmatan bot bagi membawa penumpang ke jeti.

“Selain itu, kemasukan kapal Cruise di Port Dickson adalah pada tahun 2019, di mana Jeti Penumpang Port Dickson hanya menjadi pelabuhan transit bagi penumpang kapal Cruise.

“Penumpang yang turun dari kapal ini akan melawat mana-mana negeri mengikut pakej yang disediakan oleh pihak ejen pelancongan dan naik semula ke kapal pada waktu petang,” ujar Nicole Tan.

Nicole Tan berkata, walau bagaimanapun, setakat ini tiada lagi perancangan Genting Dream Cruise untuk membuat persinggahan di Port Dickson.

Nicole Tan berkata demikian bagi menjawab pertanyaan ADUN Temiang, YB Ng Chin Tsai (PH) di Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15.

Ng bertanya bilakah Genting Dream Cruise akan singgah semula di Port Dickson dan apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk menarik lebih banyak kapal Cruise ke Port Dickson.

Show More

Related Articles

Back to top button