BeritaNaratif Kito

Raja dan rakyat berpisah tiada

Ahmad Shahir Mohd Shah

“Sebaik-baik pemimpin kamu adalah mereka yang kamu cintai dan mereka mencintai kamu, mereka yang mendoakan kamu dan kamu mendoakan mereka.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menjadi seorang rakyat Malaysia, wajib mematuhi rukun negara Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.

Rukun ini selari dengan ajaran Islam yang menyuruh kita meletakkan ketaatan dan kesetiaan kepada pemimpin dan sayang kepada negara.

Baginda Nabi SAW sangat mencintai Makkah kerana itu tanah air kelahiran baginda.

Itulah indahnya ajaran Islam.

Di Negeri Sembilan, kita mempunyai Yang di-Pertuan Besar selaku Sultan Negeri dan YAB Menteri Besar selaku Ketua Badan Eksekutif negeri.

Maka, dua sosok ini adalah pemimpin utama negeri yang akan memacu negeri ini.

Seberat manapun cabaran yang menimpa negeri ini, dua insan yang Allah pilih ini akan memastikan kedaulatan dan keselamatan rakyat wajib diutamakan.

Beban amanah ini bukan sekadar pangkat yang menjadi kebanggaan.

Tetapi ia adalah tanggungjawab yang di bawahnya ada jutaan rakyat yang mempunyai pelbagai masalah dan kerenah.

Jadi, dimanakah kekuatan mereka sebenarnya?

Selain dari kekuatan akal, fizikal dan pengalaman dalam pentadbiran, ada satu kekuatan yang memberikan kelebihan kepada mereka iaitu doa dari rakyat.

Saya petik satu dialog antara seorang ulama dan anak muridnya yang memberi tunjuk ajar kepada kita tentang makna di sebalik mendoakan pemimpin.

Fudhail bin ‘Iyadh mengucapkan sebuah pernyataan, “Seandainya aku memiliki satu doa yang pasti terkabul, tidak akan aku gunakan kecuali untuk kebaikan pemimpin.

“Kemudian beliau ditanya, “Wahai Fudhail, terangkan kepada kami hal itu!”

Beliau menjawab, “Jika kugunakan doa itu untuk diriku sendiri, manfaatnya hanya untuk diriku.

Namun, jika aku gunakan untuk mendoakan pemimpin, dia akan menjadi baik, dan akan menjadi baik pula para rakyat dan negeri-negeri.”

Ketika mendengar kalimat-kalimat al-Fudhail bin ‘Iyadh, Imam Abdullah ibnul Mubarak rahimahullah kagum.

Kemudian, ia pun mencium kening al-Fudhail seraya berkata kepadanya, “Wahai pembimbing kebaikan, siapa lagi yang boleh seperti ini selainmu?” (Hilyatul Auliya` 8/91—92).

Semoga Allah merahmati pemerintahan DYMM Tuanku Muhriz.

Ahmad Shahir Mohd Shah
Ketua Editor
Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar Negeri Sembilan

Show More

Related Articles

Back to top button