Berita

Rasuah terus dinormalisasi, Tuanku Muhriz luah rasa kesal

SERI MENANTI: DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menzahirkan pendirian tegas terhadap gejala rasuah yang disifatkan semakin berleluasa dan amat membimbangkan kerana ia memberi kesan besar terhadap keadilan, amanah serta masa depan negara.

“Rasuah merupakan musuh utama kepada integriti institusi dan asas moral masyarakat malah berpotensi meruntuhkan kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran dan kedaulatan undang-undang,” titah Baginda.

Baginda turut menzahirkan rasa terkejut dan kecewa apabila masih terdapat pihak yang terus memberikan sokongan kepada individu yang telah disabitkan bersalah atas kesalahan rasuah berskala besar seolah-olah perbuatan tersebut boleh diterima atau dimaafkan.

“Sikap sedemikian mencerminkan kegagalan memahami bahaya rasuah yang merosakkan struktur sosial dan menuntut penilaian semula terhadap prinsip hidup, nilai pegangan serta kefahaman mengenai kebenaran dan keadilan,” tegas Baginda.

Sehubungan itu, Baginda menyeru agar mana-mana pihak yang masih berkompromi terhadap perbuatan rasuah supaya segera bermuhasabah dan menilai semula pendirian masing-masing kerana sebarang bentuk toleransi terhadap rasuah adalah bertentangan dengan prinsip kebenaran, keadilan dan amanah.

Baginda menegaskan bahawa rasuah sama sekali tidak boleh diterima dalam sebuah negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang serta mengutamakan kepentingan rakyat.

Baginda bertitah demikian sempena Hari Keputeraan ke-78 DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dalam istiadat yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti.

Show More

Related Articles

Back to top button