Berita

RPN 2026-2035 utamakan pendidikan berjiwa, bentuk pelajar holistik

KUALA LUMPUR: Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 yang dilancarkan pada Selasa lepas dijangka memberi nafas baharu kepada sistem pendidikan negara dengan menekankan pembangunan murid secara menyeluruh, bukan sekadar pencapaian akademik.

Timbalan Dekan (Penyelidikan) Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Prof Madya Zuwati Hasim berkata, rancangan itu selari dengan visi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu pendidikan negara “diberi jiwa” menerusi pembentukan pelajar seimbang dari aspek akademik, kemahiran insani serta kemahiran hidup.

Menurutnya, RPN tersebut juga berperanan membantu pendidik dan ibu bapa menangani dimensi kemanusiaan dalam pendidikan termasuk perkembangan emosi, pembinaan keyakinan diri dan pengukuhan kemahiran komunikasi dalam kalangan pelajar.

“Apabila kita bercakap tentang memanusiakan pendidikan, ia bermaksud memberi jiwa kepada sistem. Kita mahu murid bukan hanya ada pengetahuan akademik, tetapi juga kemahiran insani dan kemahiran hidup untuk menghadapi kehidupan sebenar,”.

Zuwati berkata, kemahiran komunikasi semakin penting pada masa kini apabila ramai kanak-kanak dilihat berdepan kesukaran dalam interaksi interpersonal susulan pendedahan yang lama kepada gajet digital dan teknologi.

Beliau menjelaskan, terdapat kanak-kanak yang berasa cemas untuk berkomunikasi dengan orang lain sehingga melabelkan diri sebagai introvert, sedangkan keadaan itu sebenarnya boleh diperbaiki melalui pendedahan serta persekitaran pembelajaran yang sesuai.

“Tetapi perkara ini boleh diubah melalui pendedahan dan persekitaran pembelajaran yang betul. Dari sudut itu, rancangan pendidikan ini tepat pada masanya,” katanya.

Mengulas kaedah pengukuran pembelajaran tahun empat, beliau menjangkakan sistem akan beralih daripada penilaian yang berorientasikan peperiksaan kepada pentaksiran diagnostik dan formatif.

Katanya, pendekatan itu seharusnya memberi fokus terhadap mengenal pasti kekuatan serta kelemahan murid, bukannya penggredan atau perbandingan semata-mata kerana objektif utama adalah penambahbaikan dan bukannya kedudukan.

Bagaimanapun, Zuwati mengingatkan keberkesanan pelaksanaan memerlukan pertimbangan rapi terhadap cabaran sedia ada seperti saiz kelas yang besar, perbezaan tahap literasi pelajar serta kesediaan guru.

Menurut beliau, realiti itu boleh memberi kesan kepada sejauh mana pendekatan formatif dan berteraskan kemanusiaan dapat dilaksanakan di sekolah, sekali gus menuntut perancangan strategik, sokongan bersasar kepada guru serta intervensi bilik darjah yang sesuai.

Beliau berkata, penilaian formatif termasuk kerja projek, pembentangan dan tugasan berasaskan bilik darjah membolehkan pendidik menilai aspek seperti keyakinan diri, komunikasi serta pemikiran kritis pelajar yang sering tidak diberi perhatian dalam peperiksaan sumatif tradisional yang banyak menekankan penghafalan dan gred.

“Jika kita melaksanakan pembelajaran berasaskan projek, pelajar diberi ruang untuk membentangkan idea mereka dan dari situ kita boleh menilai kemahiran komunikasi, keyakinan serta pemahaman,” katanya.

Zuwati turut menegaskan keperluan memperkenalkan langkah intervensi bagi membantu peningkatan murid secara berperingkat, khususnya dalam membina kemahiran yang diperlukan dalam kehidupan sebenar.

Pada masa sama, beliau mengingatkan kanak-kanak hari ini terdedah kepada teknologi sejak usia sangat muda, sekali gus memberi kesan besar terhadap cara mereka belajar dan berkembang.

“Pembelajaran ialah tentang pendedahan. Kanak-kanak menyerap apa yang didedahkan kepada mereka dan kita mesti peka dengan apa yang diberikan.

Masa skrin berlebihan boleh menjejaskan kemahiran komunikasi, fokus dan juga penglihatan mereka,” katanya.

Beliau berkata, RPN 2026-2035 membuka ruang untuk sistem pendidikan negara disemak semula ke arah melahirkan individu serba boleh yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut memiliki daya tahan emosi serta kompeten dari sudut sosial.

Sumber: Bernama

Show More

Related Articles

Back to top button