Rumah Minda Ceria atasi isu gelandangan
EKSKLUSIF: Exco Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, YB Nicole Tan Lee Koon berkata, Rumah Minda Ceria (RMC) diwujudkan bagi mengatasi isu gelandangan di negeri ini.
“Saya kerap kali menerima aduan terdapat gelandangan yang tidur di kaki lima kedai.
“RMC ini bertujuan menyelamatkan dulu gelandangan. Kemudian baru dikenal pasti sama ada mereka pesakit mental, ketagihan dadah atau alkohol, pesakit Dementia atau yang menghadapi masalah keluarga.
“Hal ini kerana, jika aduan dibuat kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mereka hanya bertanggungjawab sekiranya mereka ini gelandangan pengemis,” ujar Nicole Tan.
Menurut Nicole Tan, sekiranya gelandangan tersebut pesakit mental, mereka hanya boleh diselamatkan melalui Jabatan Kesihatan Negeri dan polis.
“Kita tidak boleh kenal pasti masalah gelandangan di kaki lima. Pada masa yang sama, RMC bukan bertujuan meramaikan penghuni.
“Ada kes gelandangan yang dapat kita selesaikan dengan segera.
“Ada juga yang dibawa ke RMC dan ahli keluarga perlu dihubungi untuk membantu golongan ini,” kata Nicole.