Berita

SAH: Hospital Tuanku Ja’afar 2 di belakang Klinik Kesihatan Seremban

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun hari ini mengesahkan Hospital Tuanku Ja’afar 2 (HTJ 2), Seremban yang baharu akan dibina di belakang Klinik Kesihatan Seremban (Jalan Rasah).

“Hospital Tuanku Ja’afar 2 akan dibina di atas sebuah tapak tanah seluas 33 ekar di belakang Klinik Kesihatan Seremban dengan anggaran kos RM600 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.

“Tanah seluas 33 ekar ini cukup untuk membina sebuah hospital yang baharu dengan kemudahan 400 buah katil.

“HTJ 2 harus melengkapkan HTJ sedia ada. Bermakna apa juga rawatan yang tidak ada di HTJ, perlu ada di HTJ 2.

“Bidang subkepakaran yang akan dikembangkan di HTJ 2 ialah Pembedahan Saraf (Neuro Surgery), Pembedahan Kanak-kanak, Pembedahan Trauma serta Pembedahan Plastik (Plastic Surgery) dan Urologi.

“Ini akan jadi pemangkin yang baik, yang pastinya akan memberikan satu perkhidmatan yang lebih sempurna,” jelas Aminuddin.

Aminuddin berkata, beliau berharap projek pembinaan HTJ 2 dimasukkan dalam Belanjawan 2026 agar pelaksanaan pembinaan hospital baharu ini dapat dimulakan secepat mungkin pada tahun hadapan.

“Pada masa ini, projek naik taraf Hospital Tuanku Ja’afar menyebabkan berlakunya kekurangan katil sebanyak 188 buah dan akibatnya, berlaku peningkatan pesakit yang menunggu kemasukan ke wad di Jabatan Kecemasan.

“Selain itu, dalam tempoh lima tahun akan datang, terdapat keperluan mendesak untuk menambah bilangan katil selaras unjuran peningkatan tinggi bilangan pesakit dan keperluan subkepakaran yang berkembang.

“Cadangan pembinaan HTJ 2 ini tidak boleh dilengahkan kerana menjadi keperluan mendesak bagi menampung peningkatan penduduk Negeri Sembilan yang diunjur bakal mencapai 2.9 juta menjelang 2045.

“Projek ini juga penting dalam memperkasa infrastruktur kesihatan Negeri Sembilan ke arah ketercapaian dan kualiti perkhidmatan yang optimum susulan pembukaan pelbagai pusat industri High-Growth High-Value (HGHV) baharu, khususnya dalam kawasan Malaysia Vision Valley 2.0.” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian di Sidang Media Pasca Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, Seremban sebentar tadi.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button