Sukan SEA: Pearly-Thinaah tamatkan penantian sedekad, hadiahkan emas beregu wanita

Gandingan beregu wanita negara, Pearly Tan dan M Thinaah mencipta detik bersejarah apabila menamatkan kemarau 10 tahun pingat emas Malaysia dalam acara berkenaan di Sukan SEA Thailand 2025, selepas menundukkan pasangan Indonesia pada aksi final, Ahad.
Pasangan ranking kedua dunia itu dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan gandingan Febriana Dwipuji Kusuma dan Meilysa Puspitasari menerusi perlawanan tiga set yang berlarutan selama 86 minit di Gimnasium Universiti Thammasat.
Dalam aksi penuh intensiti, Pearly-Thinaah memulakan perlawanan dengan meyakinkan apabila memenangi set pertama 21-16, namun lawan bangkit pada set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan selepas mencatat kemenangan 21-19.
Berbekalkan ketenangan dan disiplin permainan tinggi, pasangan negara kembali menguasai gelanggang pada set ketiga sebelum menoktahkan kemenangan 21-17, sekali gus mengesahkan pingat emas pertama kem badminton Malaysia di temasya kali ini.
Kejayaan tersebut amat bermakna apabila ia menamatkan penantian sedekad negara dalam acara beregu wanita Sukan SEA, selain menjadi pencapaian manis buat Pearly-Thinaah yang tampil buat kali pertama di temasya dwitahunan berkenaan.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia meraih pingat emas acara beregu wanita adalah pada edisi Sukan SEA 2015 di Singapura menerusi gandingan Amelia Alicia Anscelly dan Soong Fie Cho.



