Taklimat penyelenggaraan fasiliti sukan pastikan kerja naik taraf jalan lancar
SEREMBAN: Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, YB Mustapha Nagoor telah mengadakan Taklimat Penyelenggaraan Kecil Fasiliti Sukan kepada 35 Ahli Dewan Undangan Negeri.
“Taklimat ini merupakan langkah penting dalam memastikan proses penyelenggaraan kemudahan sukan di negeri khususnya di kawasan DUN-DUN berjalan dengan lancar dan cekap.
“Selain daripada itu, saya juga menyampaikan taklimat mengenai dana PERKESO serta Road to Hari Sukan Negara (HSN).
“Ini adalah peluang yang baik bagi rakyat untuk memahami lebih mendalam mengenai tawaran-tawaran kemahiran serta langkah-langkah yang perlu diambil untuk meningkatkan kesedaran dan penglibatan masyarakat,” kata Mustapha.
Dalam pada itu, Mustapha juga mengucapkan terima kasih kepada Pejabat ADUN-ADUN seluruh Negeri Sembilan atas kerjasama dan penglibatan mereka dalam Kejohanan Sukan Negeri Sembilan (SUKNES) 2024 yang telah dijalankan.
“Kerjasama ini amatlah penting dalam memajukan bidang sukan dalam kalangan masyarakat kita.
“Kerjasama yang terjalin akan terus diperkukuhkan untuk kebaikan bersama.
“Terima kasih di atas sokongan dan kerjasama semua pihak,” ujar Mustapha.