Berita

Tiada Klausa Jejas Kepentingan Domestik Dalam ART Malaysia–AS

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan bahawa tiada sebarang klausa dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia–Amerika Syarikat (ART) yang menjejaskan dasar Bumiputera atau memberikan keistimewaan khusus kepada syarikat Amerika Syarikat (AS)

Beliau berkata peruntukan dalam ART melibatkan perkara berkaitan kepentingan domestik, peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta dasar Bumiputera namun tidak menjejaskan kedaulatan dasar negara.

Menurut Johari, dari segi peranan GLC, ART tidak mengehadkan penglibatan atau sumbangan GLC dalam pembangunan ekonomi negara.

Kerajaan kekal mempunyai kuasa penuh untuk menentukan bentuk sokongan yang bersesuaian termasuk inisiatif bagi memperkukuhkan ekonomi domestik dan kesejahteraan rakyat.

“Bagi aspek cukai digital pula, ART tidak menghalang Malaysia daripada mengenakan cukai digital selagi pelaksanaannya tidak bersifat mendiskriminasi terhadap syarikat AS,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd. Syahir bin Che Sulaiman (PN-Bachok) yang meminta MITI menjelaskan langkah kerajaan memastikan peruntukan ART tidak mendiskriminasi kepentingan domestik termasuk keupayaan menyokong GLC, dasar Bumiputera, kutipan cukai digital, perlindungan industri pertanian dan perikanan tempatan serta autoriti badan kawal selia strategik negara.

Mengulas lanjut, Johari menegaskan bahawa setiap perjanjian perdagangan antarabangsa yang dirundingkan termasuk ART dilaksanakan dengan penuh penelitian dan berhati-hati bagi memastikan kepentingan domestik serta kedaulatan negara terus terpelihara.

“Setiap komitmen yang dipersetujui melalui perjanjian ini adalah selaras dengan undang-undang domestik sedia ada serta mengutamakan pembangunan sosioekonomi Malaysia,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button