Transformasi Hijau di Kampung Baru Air Hitam

SUNGAI LUI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lui, Dato’ Mohd Razi Mohd Ali telah merasmikan Projek Rakan Kebun Sahabat Komuniti Desa (SKOD) di Anjung Peladang Kampung Baru Air Hitam sebagai salah satu usaha memperkukuh kestabilan ekonomi komuniti luar bandar.
Mohd Razi berkata, program ini merupakan inisiatif Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Jelebu dengan kerjasama JPKK Kampung Baru Ayer Hitam yang bertujuan meningkatkan pendapatan penduduk melalui aktiviti pertanian dan projek kebun komuniti.
“Ia juga memberi penekanan kepada penggunaan teknologi moden seperti fertigasi bagi menghasilkan tanaman berkualiti tinggi secara lebih efisien.
“Pelaksanaan program ini turut dibantu oleh ahli-ahli SKOD yang memainkan peranan penting dalam menjayakan projek di peringkat akar umbi.
“Melalui semangat gotong-royong dan kerjasama, program ini turut menggalakkan perkongsian ilmu dan kemahiran dalam kalangan penduduk setempat.” ujar Mohd Razi.
Mohd Razi berkata, beliau berharap agar inisiatif ini memberi impak positif jangka panjang kepada komuniti dan menjadi model pembangunan ekonomi mampan luar bandar.