1,656 Kontraktor G1 Sertai Program Kerja Undi Penyelenggaraan Jalan Negeri Sembilan
SEREMBAN – Sebanyak 450 kerja penyelenggaraan jalan telah ditawarkan di seluruh Negeri Sembilan bagi Fasa 1 Tahun 2026 dengan nilai RM100,000 bagi setiap kerja melibatkan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM45 juta.
Seramai 1,656 kontraktor G1 layak menyertai program ini sekali gus mencerminkan keyakinan tinggi kontraktor tempatan terhadap sistem yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.
Majlis Kerja Undi Fasa 1 Tahun 2026 Penyenggaraan Jalan Kerajaan Negeri Sembilan ini telah dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan di Dewan Serbaguna, Wisma Negeri, Negeri Sembilan.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa penyediaan infrastruktur asas khususnya jalan raya merupakan satu amanah yang mesti dilaksanakan dengan penuh kejujuran dan tanggungjawab.
“Setiap perbelanjaan wang rakyat perlu dipastikan memberi manfaat langsung kepada masyarakat serta menyumbang kepada kesejahteraan dan pembangunan negeri.”katanya
Prestasi perbelanjaan Malaysia Road Record Information System (MARRIS) Negeri Sembilan pada tahun 2025 yang mencapai 102 peratus bersamaan RM405.6 juta turut membuktikan keupayaan negeri dalam mengurus peruntukan secara cekap dan berkesan.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2020, Program Cabutan Kerja Undi telah dilaksanakan sebanyak 14 kali melibatkan tawaran 4,665 kerja kepada kontraktor G1 dengan nilai keseluruhan mencecah RM453.9 juta.
Beliau menjelaskan bahawa pendekatan ini terbukti adil, tersusun, diyakini serta menutup ruang kepada sebarang unsur salah guna kuasa dan ketirisan.
Kerajaan Negeri akan terus memperluaskan pendaftaran jalan dan mempercepatkan pelaksanaan projek bagi meningkatkan penerimaan peruntukan pada tahun 2026 sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada kontraktor tempatan.
Kerajaan Negeri Sembilan turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa MARRIS Negeri, Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan serta semua agensi yang terlibat atas komitmen dan profesionalisme dalam menjayakan program ini demi kepentingan rakyat dan negeri.




