50,000 penjawat awam terima BKK RM300 sempena Aidilfitri tahun Ini

SEREMBAN: Seramai 50,000 penjawat awam Kerajaan Persekutuan yang bertugas di Negeri Sembilan akan menerima Bantuan Kewangan Khas (BKK) berjumlah RM300 dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM15 juta sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun berkata, Kerajaan Negeri akan menyalurkan BKK Aidilfitri tersebut kepada penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di Negeri Sembilan sebagai tanda penghargaan atas sokongan serta komitmen berterusan mereka terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri.
Menurut beliau, sebelum ini penjawat awam persekutuan di Negeri Sembilan telah menerima BKK berjumlah RM200 dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM10 juta pada tahun lalu.
“Kali ini, setiap penjawat awam persekutuan yang layak akan menerima bantuan sebanyak RM300 dengan keseluruhan peruntukan berjumlah RM15 juta yang disediakan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.
Tambah Aminuddin, pemberian BKK itu bukan sahaja bertujuan meringankan beban kewangan penjawat awam menjelang sambutan Aidilfitri malah sebagai suntikan semangat kepada mereka yang sentiasa komited menyokong agenda serta dasar Kerajaan Negeri Sembilan.
“Kerajaan Negeri amat menghargai sumbangan dan peranan penjawat awam persekutuan yang menjadi tulang belakang dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan,” katanya.
Aminuddin berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2026 yang berlangsung di Auditorium Tunku Puan Chik, Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, RTM Negeri Sembilan.



