BeritaMenarik

6,799 usahawan kecil mendapat manfaat dengan peruntukan RM28 juta

AMPANGAN: Seramai 6,799 usahawan mikro telah mendapat manfaat daripada Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS), TUNS PLUS dan TUNS EXTRA dengan jumlah peruntukan RM28 juta.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Keusahawanan, YB Dato’ Dr.Mohamad Rafie Abd Malek berkata, TUNS merupakan geran RM3,000 yang tidak perlu dibayar balik, diperkenalkan pada tahun 2019 dengan peruntukan RM3 juta dan seramai 1,046 peniaga kecil mendapat bantuan kewangan TUNS.

“Pada tahun kedua 2020, peruntukan ditingkatkan kepada RM6 juta dan 2,023 peniaga kecil mendapat manfaat daripada geran bantuan tersebut.

“Seramai 1,078 peniaga kecil menerima bantuan TUNS pada tahun 2021 yang membabitkan peruntukan RM3 juta.

“Manakala pada tahun 2022 dengan peruntukan RM3 juta, seramai 1,002 peniaga kecil telah dibantu,” ujar beliau.

Mohamad Rafie berkata, pada tahun ini, peruntukan RM3 juta disediakan dengan sasaran penerima 1,000 peniaga kecil.

Secara keseluruhan, daripada tahun 2019 hingga 2023; seramai 6,149 peniaga kecil telah dan akan menerima bantuan TUNS.

TUNS PLUS

Dalam pada itu kata Mohamad Rafie, TUNS PLUS pula merupakan pinjaman tanpa faedah maksimum RM15,000 bagi usahawan kecil memperbesarkan perniagaan mereka.

“Pada tahun 2021, seramai 213 usahawan kecil mendapat manfaat dengan peruntukan RM3 juta.

“Seramai 204 usahawan kecil menerima dana TUNS PLUS dengan peruntukan RM3 juta pada tahun 2022.

“Pada tahun ini, seramai 200 usahawan kecil disasarkan akan mendapat manfaat TUNS PLUS dengan dana RM3 juta,” katanya.

TUNS EXTRA

Mohamad Rafie berkata, TUNS EXTRA diperkenalkan pada tahun ini, merupakan geran padanan dengan bantuan maksimum RM30,000.

“Peruntukan RM1 juta disediakan oleh Kerajaan Negeri dan seramai 33 orang usahawan dijangka akan mendapat bantuan ini,” jelas beliau.

300 pelaut dilatih

Sementara itu, berhubung pembangunan modal insan, Mohamad Rafie berkata, Kerajaan Negeri telah melatih ribuan individu khususnya generasi muda.

“Kita juga telah melatih dan menjayakan lebih 300 orang pelaut untuk belajar dan memperolehi lesen mengemudi bot/kapal dengan kapasiti sehingga 500 MT dalam usaha kita untuk memartabatkan industri maritim,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button