ADUN PN Biadap Gagal Hadir Istiadat Angkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan
1. Sikap biadap dan tidak menghormati institusi beraja telah dipamirkan oleh 5 Adun PN Negeri Sembilan walaupun baharu sehari memenangi kerusi Dun.
2. Difahamkan 5 Adun PN pada awalnya telah menyatakan kehadiran ke Majlis Istiadat Angkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan. Namun kesemua mereka tidak langsung kelihatan di Balairong Seni Istana Seri Menanti.
3. Ini satu perbuatan biadap terhadap institusi beraja apabila Adun-Adun PN tidak menghormati dan tidak langsung memberi muka kepada Tuanku Yamtuan Besar seolah mereka memboikot istiadat tersebut.
4. Negeri Sembilan ialah negeri tanah beradat, janganlah sesekali membelakangi istiadat penting yang akhirnya memperlihatkan sikap derhaka kepada institusi beraja, khususnya terhadap DYMM Yamtuan Besar Negeri Sembilan.
5. Pihak PN juga yang sebelum ini mendakwa PH dan BN tiada kesepakatan dalam melantik Dato’ Seri Aminuddin Harun kekal sebagai Menteri Besar akhirnya meleset, malah kesemua Adun BN telah hadir istiadat tersebut menandakan sokongan yang jitu terhadap Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan.
6. Adalah sangat tidak wajar apabila perbezaan politik dijadikan asas untuk tidak bersama dalam upacara penting yang melibatkan DYMM Tuanku. Perkara boikot ini harus dipandang serius selari dengan hasrat menjunjung titah dan adat istiadat di Negeri Sembilan.
7. Oleh demikian, kelima-lima Adun PN dituntut untuk tampil memohon maaf di atas ketidak-hadiran mereka pada majlis tersebut.
EDY NOOR REDUAN
Setiausaha Penerangan
KeAdilan Negeri Sembilan