Berita

AMINUDDIN: Negeri Sembilan dijangka sumbang 15 peratus KDNK menerusi MVV 2.0

SEREMBAN: Negeri Sembilan dijangka menyumbang sebanyak 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menerusi Malaysia Vision Valley (MVV 2.0).

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, ia boleh dicapai sekiranya projek MVV 2.0 dapat dilaksanakan dengan baik.

“Kita telah memohon kepada Kerajaan Persekutuan supaya insfrastruktur seperti jalan, paip dan kemudahan lain diberi keutamaan contohnya pembinaan susur keluar ke jalan baru Nilai-Labu dan pembesaran Jalan Labu itu sendiri.

“Perkara itu telah diutarakan ketika sesi perbincangan dan mesyuarat di antara beberapa kementerian terlibat termasuk Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya,” katanya dalam sidang media Pasca Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.

Aminuddin menjelaskan, pihaknya turut membincangkan pembangunan MVV bukan sahaja tertumpu di kawasan Sendayan tetapi juga di Port Dickson.

MVV 2.0 merupakan rancangan jangka panjang pembangunan Negeri Sembilan ke arah menjadi sebuah negeri maju yang memiliki pembangunan metropolis bertaraf dunia sekali gus memberi impak kepada ekonomi Malaysia dengan pelaburan antarabangsa dan tempatan.

Pembangunan MVV 2.0 berkeluasan 153,411 hektar tanah merangkumi daerah Seremban dan Port Dickson.

Selain itu, MVV 2.0 menumpukan kepada empat pemacu ekonomi iaitu industri berteknologi tinggi, industri perkhidmatan dan pelancongan, sektor pendidikan dan penyelidikan berasaskan kemahiran serta Industri Perkhidmatan Khas atau aktiviti berkaitan hab logistik, penerbangan dan maritim.

Show More

Related Articles

Back to top button