Berita

Aminuddin sasar pelaburan RM8 bilion tahun 2026

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan giat memperkukuh ekonomi melalui peningkatan pelaburan strategik apabila merekodkan jumlah pelaburan swasta sebanyak RM7.2 bilion pada tahun 2024.

Justeru itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, Negeri Sembilan dijangka mampu meningkatkan kemasukan pelaburan bernilai RM8 bilion pada tahun 2026, mencerminkan pertumbuhan berterusan dan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi Negeri.

Sementara itu, sehingga suku ketiga tahun 2025, Negeri Sembilan telah mencatatkan nilai pelaburan berjumlah RM6.2 bilion.

“Dalam perkembangan yang sama, Projek F&N di Gemas, Tampin telah beroperasi pada suku pertama tahun 2025.

“Fasa 1 dianggarkan menyumbang 300 peluang pekerjaan baharu.

“Apabila keseluruhan fasiliti beroperasi sepenuhnya, kapasiti guna tenaga dijangka meningkat kepada 600 peluang pekerjaan, sekali gus memberi impak positif terhadap pasaran buruh tempatan,” kata beliau.

Aminuddin berkata, seiring dengan kemajuan ekonomi, Negeri Sembilan menumpukan usaha untuk rakyat ‘Tinggal, Bekerja dan Riadah’ di negeri ini.

Usaha ini disokong dengan pembangunan kawasan perindustrian baharu yang tertumpu dalam wilayah Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) iaitu di daerah Seremban dan Port Dickson dengan keluasan sebanyak 8,593 ekar yang berpotensi menarik lebih banyak pelaburan.

Selain itu, projek MVV 2.0 turut menjadi pemacu utama pelaburan, dengan tumpuan kepada sektor perkilangan, teknologi hijau, aeroangkasa, logistik dan bandar pintar.

Inisiatif ini akan menjadikan Negeri Sembilan sebagai hab ekonomi berteknologi tinggi, meningkatkan daya tarikan pelabur serta menyumbang kepada transformasi negeri ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

“Kerajaan Negeri juga melaksanakan Peraturan Tangkas (Fast Lane) sebagai langkah strategik bagi mempercepatkan proses kelulusan permohonan, pengeluaran Perakuan Siap dan Pematuhan, dan lesen pengoperasian.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri untuk memperkukuh tadbir urus penyampaian perkhidmatan, serta mengurangkan kerenah birokrasi dalam proses pembangunan.

“Melalui pelaksanaan mekanisme Fast Lane, permohonan yang memenuhi kriteria ditetapkan akan diproses dalam tempoh yang lebih singkat melalui penyelarasan antara agensi teknikal dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” jelas Aminuddin.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada KDNK Negeri, dipacu oleh aktiviti perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman, serta perkhidmatan Kerajaan Negeri.

“Sektor pembuatan juga menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan, khususnya dalam subsektor E&E, automotif serta produk berasaskan sumber.

“Kawasan perindustrian utama seperti Senawang, Bandar Sri Sendayan, Nilai dan Sungai Gadut terus menarik pelaburan baharu, sekali gus memperkukuh asas industri Negeri,” ujar beliau.

Aminuddin berkata demikian semasa Ucapan Pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2026 di Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15.

Show More

Related Articles

Back to top button