SEREMBAN: Menyedari kos perubatan yang semakin meningkat dan kekangan yang dihadapi oleh rakyat terutamanya golongan rentan, Kerajaan Negeri bersetuju untuk meneruskan skim bantuan Bantuan Perolehan Alat Implan Ortopedik dalam Belanjawan Negeri Sembilan 2025.
Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, inisiatif yang turut dikekalkan ialah Bantuan Rawatan Pembedahan AV Fistula bagi rawatan hemodialisis dan Rumah Minda Ceria.
“Kerajaan Negeri akan meneruskan Bantuan Perolehan Alat Implan Ortopedik dengan peruntukan sebanyak RM0.5 juta.
“Bantuan Rawatan Pembedahan AV Fistula bagi rawatan hemodialisis juga diteruskan pada tahun 2025 dengan peruntukan sebanyak RM0.5 juta.
“Nasib golongan gelandangan juga tidak dilupakan dengan meneruskan geran bantuan kepada badan NGO Rumah Minda Ceria dengan peruntukan sebanyak RM120,000,” ujar Aminuddin.
Menurut Aminuddin, sejumlah RM1.34 juta diperuntukkan dalam Belanjawan Negeri Sembilan 2025 dengan empat inisiatif iaitu satu inisiatif baharu dan tiga inisiatif sedia ada.
Inisiatif baharu yang diperkenalkan ialah Sentuhan Prihatin OKU Negeri Sembilan yang bakal beri manfaat kepada 1,094 OKU dengan Bantuan one-off sebanyak RM5,000 kepada 44 buah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) sebagai program sokongan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).