Dana RM15 juta dapur siswa KPT pacu agenda kebajikan mahasiswa nasional

NILAI: Kelulusan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi pelaksanaan inisiatif Bank Makanan Dapur Siswa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Perutusan Tahun Baharu 2026, disifatkan sebagai langkah strategik kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup mahasiswa secara menyeluruh dan mampan.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan MADANI dalam memastikan akses kepada bantuan makanan, khususnya kepada mahasiswa daripada golongan B40 dan asnaf, sentiasa dipelihara agar tumpuan terhadap kecemerlangan akademik dapat diteruskan tanpa gangguan.
Penyelarasan pelaksanaan di bawah KPT turut diperkukuh bagi memastikan bantuan sampai kepada kumpulan sasaran di peringkat institusi pendidikan tinggi (IPT).
Memandangkan keperluan mahasiswa berbeza mengikut lokaliti dan ekosistem kampus, pendekatan ini memberi fleksibiliti kepada IPT untuk menyesuaikan kaedah pelaksanaan mengikut acuan masing-masing bagi menjamin impak yang optimum.
Di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), pengumuman ini dijangka memperkukuh kesinambungan Dapur HEPA USIM yang telah menjadi platform kebajikan bersepadu di kampus tersebut.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mushaddad Hasbullah menyifatkan peruntukan ini sebagai pemangkin kepada pemerkasaan ekosistem kebajikan sedia ada.
“Dapur HEPA USIM merupakan sebuah ekosistem bersepadu yang menghimpunkan peranan Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ), Pusat Hal Ehwal Pelajar (PHEP), Pusat Islam serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
“Dengan dokongan dana tambahan ini, USIM optimis untuk memperluas jangkauan bantuan sedia ada melepasi rekod agihan sebelum ini melalui kaedah pelaksanaan yang lebih sistematik dan berimpak tinggi,” ujar beliau.
Sokongan turut dizahirkan oleh Yang Dipertua Majlis Pimpinan Pelajar (MPP), Nik Faruqi Naim Mohd Fauzi, yang menyifatkan inisiatif ini sebagai langkah bermakna yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan pelajar.
“Saya mewakili seluruh mahasiswa bersyukur kerana dana ini bukan sekadar sokongan bersifat kebajikan kepada mahasiswa, malah merupakan satu usaha pemulihan martabat bagi memastikan kemiskinan tidak menjadi faktor peminggiran bakat dalam ekosistem pendidikan tinggi kita,” katanya.
Melalui pengukuhan dana ini, pelbagai inisiatif kebajikan sedia ada seperti Program CSR RM1, Ihya’ Ramadan, Gerobok Makanan Fakulti, serta platform Musa’adah On The Spot berpotensi dilaksanakan secara lebih mampan dan tersusun.
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM Sesi Akademik 2025/2026 turut menyatakan komitmen penuh bagi memastikan penyelarasan bantuan dilakukan secara telus, berintegriti dan berfokus kepada kumpulan sasaran agar isu kekangan kos sara hidup dapat ditangani secara tuntas tanpa menjejaskan maruah serta kualiti hidup mahasiswa.



