Ganding bahu dalam usaha membanteras ketirisan dan penyalahgunaan subsidi

SEREMBAN: Kerajaan Perpaduan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Jun 2025 telah meluluskan syor Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkenaan pelaksanaan pindaan ke atas Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) (Pindaan) 2021 yang diluluskan pentadbiran terdahulu yang telah berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021.
Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan dan Negeri Sembilan, Veerapan Superamaniam berkata, mengikut pindaan dahulu, PPKB (Pindaan) 2021 menetapkan sekatan had kepada peniaga bagi pemilikan dan penggunaan Gas Petroleum Cecair (LPG) melebihi 42 kilogram pada satu-satu masa yang memerlukan kepada Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB).
“Pindaan yang disyorkan ini berteraskan kepada keperluan peniaga jualan makanan dan minuman berskala mikro dan kecil serta mewujudkan kejelasan undang-undang (clarity of law) untuk memastikan keberkesanan pematuhan dan penguatkuasaan.
“Selain itu, semakan dan pindaan PPKB (Pindaan) 2021 ini akan diselaraskan oleh Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha (KSU) KPDN serta melibatkan agensi dan kementerian yang berkaitan.
“Saya selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan yang bertanggungjawab dengan portfolio Kepenggunaan menyambut baik serta sokongan pindaan yang disyorkan oleh KPDN,” ujar beliau.
Katanya, Kerajaan telah mendengar keresahan serta keluhan peniaga kecil dan meluluskan syor yang diketengahkan oleh KPDN.
“Saya juga menyokong tindakan kerajaan supaya tiada tindakan terhadap peniaga mikro dan kecil menerusi OPS GASAK sehingga tempoh pindaan dimuktamadkan serta gerak kerja membanteras ketirisan yang melibatkan aktiviti haram decanting dan penggunaan oleh industri akan diteruskan.
“Semoga segala keputusan serta usaha kerajaan melalui KPDN akan memanfaatkan peniaga mikro dan kecil serta subsidi disasarkan kepada yang berhak.
“Di samping itu, saya juga ingin menyeru supaya semua pihak berganding bahu dalam usaha membanteras ketirisan dan penyalahgunaan subsidi serta menolak fitnah yang tidak berasas yang pasti akan mengelirukan rakyat,” jelas Veerapan.