Berita

Gunasekaren sumbang RM500 bantu keluarga hadapi penyakit mata di Seremban Jaya

SEREMBAN JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, Dato’ P. Gunasekaren tampil menghulurkan bantuan kewangan sebanyak RM500 kepada sebuah keluarga yang berdepan kesukaran hidup akibat masalah kesihatan di Taman Tuanku Ampuan Najihah, di sini.

Sumbangan itu disampaikan kepada Encik Kumaresan Anavy yang kini sedang mengalami penyakit mata, sekali gus menjejaskan keupayaan beliau menjalani kehidupan harian bersama keluarga.

Gunasekaren berkata, keluarga berkenaan yang mempunyai dua orang anak kecil kini berdepan cabaran dari segi kewangan dan keperluan asas harian.

“Keadaan tersebut telah dimaklumkan kepada saya oleh seorang penduduk setempat, Puan Vijaya, yang prihatin terhadap nasib keluarga itu.

“Dalam lawatan tersebut, saya bukan sahaja menyampaikan cek bernilai RM500, malah turut menyerahkan barangan dapur bagi membantu meringankan beban keluarga berkenaan.

“Bantuan itu juga bertujuan menampung sebahagian kos rawatan susulan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban,” kata Gunasekaren.

Beliau dalam masa sama merakamkan penghargaan kepada Puan Vijaya atas keprihatinan dan usaha menyalurkan maklumat mengenai keadaan keluarga tersebut.

Gunasekaren berharap sumbangan yang diberikan dapat sedikit sebanyak membantu serta memberi semangat kepada keluarga berkenaan untuk terus tabah menghadapi ujian kehidupan.

Show More

Related Articles

Back to top button