BeritaMenarik

Harga Beras Putih Tempatan kekal RM2.60 sekilogram

KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato’ Seri Mohamad Sabu berkata, harga Beras Putih Tempatan (BPT) akan terus kekal pada kadar RM2.60 sekilogram.

“Bagi memastikan bekalan beras tempatan kembali ada di pasaran, kerajaan akan mengambil langkah proaktif dengan menyerap kos pengeluaran sebanyak RM150 juta dalam tempoh enam bulan.

“Langkah ini akan memastikan 24 juta kampit Beras Putih Tempatan bersaiz 10kg dapat disalurkan ke pasaran dengan segera, sekali gus meringankan beban pengguna.

“Kedua, bagi menyokong dan memperkasakan komuniti pesawah negara, kerajaan telah menetapkan penyelarasan harga lantai belian padi kepada RM1,500 per tan metrik, berkuat kuasa mulai 16 Februari 2025.

“Keputusan ini diambil bagi menjamin pendapatan pesawah yang lebih stabil dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran kos pengeluaran yang meningkat,” kata beliau.

Mohamad berkata, langkah-langkah ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memastikan bekalan makanan negara terjamin serta kebajikan rakyat dan pesawah terus terpelihara.

“Kerajaan komited dalam memastikan keterjaminan makanan negara terus terpelihara dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” ujarnya di Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen.

Show More

Related Articles

Back to top button