Berita

Isu penjual petai dengan penguatkuasa MPPD selesai secara baik

SRI TANJUNG: Isu penjual petai dengan penguatkuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) telah diselesaikan secara harmoni.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Dr.P.Rajasekaran berkata, beliau bersama Yang DiPertua MPPD, Hasnor Abd Hamid serta Setiausaha MPPD, Mohd Azizul Hakim telah mengadakan lawatan ke rumah Mohd Noor Saad bagi menyelesaikan isu ini secara baik.

“Hasil perbincangan, pihak MPPD bersetuju untuk mengeluarkan lesen sementara kepada Pak Cik Mohd Noor bagi membolehkannya menjalankan perniagaan secara sah.

“Kami berharap langkah ini dapat meredakan ketegangan dan memberikan penyelesaian yang adil kepada semua pihak.

“Pihak MPPD juga akan terus memantau situasi ini bagi memastikan tiada lagi isu seumpama ini berlaku pada masa hadapan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menyelesaikan isu ini secara diplomasi dan mesra.

“Semoga kejadian ini dapat dijadikan pengajaran dan panduan untuk menangani isu-isu komuniti dengan lebih baik pada masa akan datang,” jelas Rajasekaran.

Dalam pada itu, Rajasekaran mewakili Menteri Besar dan Ahli Parlimen Port Dickson, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun menyampaikan sumbangan kewangan kepada Mohd Noor bagi gantirugi petai yang tidak dapat jual pada hari kejadian.

“Selain itu, Pegawai Penguatkuasa MPPD, Encik Kamarul, juga hadir ke rumah Pak Cik Noor dan bersalaman sebagai tanda penyelesaian isu ini,” kata Rajasekaran.

Sebelum ini tular video di dalam media sosial, apabila Mohd Noor campak petai di atas jalan raya di hadapan pegawai penguatkuasa MPPD.

Difahamkan terlebih dahulu, MPPD menerima aduan daripada pemilik premis perniagaan yang mendakwa Mohd Noor menjual petai di hadapan premis kedai beliau yang menghalang laluan pelanggan ke kedai beliau.

Sementara itu Aminuddin turut mengulas bahawa video yang tular adalah suntingan penghujung kejadian dan bukan dari awal kejadian.

Aminuddin meminta orang ramai jangan menghukum penguatkuasa MPPD tanpa menyelidik kronologi kejadian sebenar dari awal hingga akhir.

Show More

Related Articles

Back to top button