
PUTRAJAYA: Demi mengurangkan risiko kemalangan melibatkan kenderaan berat, Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mula menguatkuasakan penggunaan Speed Limitation Device (SLD) secara berperingkat bagi semua kenderaan perdagangan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penguatkuasaan SLD adalah seperti berikut:
✅ Bermula 1 Oktober 2025: Pengesahan kefungsian SLD diwajibkan bagi bas dan kenderaan berat (daftar selepas 1 Januari 2015).
✅ Bermula 1 Januari 2026: SLD wajib diaktifkan dalam ECU bagi kenderaan lama (daftar sebelum 1 Januari 2015).
✅ Bermula 1 Julai 2026: Pemasangan retrofit SLD diwajibkan bagi kenderaan yang tiada sistem SLD sedia ada.
“Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memperketat aspek keselamatan jalan raya, mengelak pemanduan melebihi had laju, dan melindungi nyawa rakyat Malaysia.
“Saya menyeru seluruh pemain industri, pengeluar, operator logistik dan pemilik kenderaan perdagangan untuk memberi kerjasama penuh demi sistem pengangkutan yang lebih selamat, moden dan berdaya saing,” kata beliau.