BeritaProgram

Kadar tol Lebuhraya LEKAS dan BESRAYA turun tengah malam ini

Penurunan 50 sen bagi kenderaan kelas 1 di Lebuhraya LEKAS

SEREMBAN: Kadar tol di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dan Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) akan diturunkan bermula 12.01 tengah malam ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kadar tol bagi kenderaan kelas 1 untuk Lebuhraya LEKAS dikurangkan daripada 0.1811 sen/kilometer (km) kepada 0.1666 sen/km bagi sistem tol tertutup, manakala bagi sistem tol terbuka iaitu di Plaza Tol Ampangan, kadar tol kekal seperti sedia ada.

“Penurunan kadar tol Lebuhraya BESRAYA adalah sebanyak 15 sen bagi kenderaan kelas 1 yang melalui Plaza Tol Loke Yew dan Mines (arah Utara dan Selatan).

“Kenderaan Kelas 1 yang menggunakan keseluruhan Lebuhraya LEKAS akan membayar RM7.80 sehala berbanding RM8.30 ketika ini.

“Manakala pengguna yang melalui mana-mana plaza tol Lebuhraya BESRAYA akan membayar RM1.85 sehala berbanding RM2.00 buat masa ini,” kata Alexander Nanta.

Kerajaan mahu bantu rakyat

Alexander Nanta berkata, penurunan kadar tol ini dipersetujui syarikat konsesi dua lebuh raya berkenaan IJM Corporation Berhad selaras dengan keputusan jemaah menteri pada 21 Dis lepas.

“Melalui penyusunan semula struktur dan kadar tol bagi kedua-dua lebuh raya ini, kerajaan dapat menjimatkan peruntukan bayaran pampasan yang dianggarkan RM1.978 bilion sepanjang tempoh konsesi bagi kedua-dua lebuhraya dan peruntukan ini boleh disalurkan kepada keperluan asas lain rakyat Malaysia.

“Penurunan kadar tol ini adalah tanda keprihatinan kerajaan dalam membantu rakyat yang berdepan dengan masalah kenaikan kos sara hidup ketika ini.

Selain itu, Kerajaan juga sedang mengambil langkah berterusan untuk mengurangkan beban pengguna lebuh raya tanpa mengabaikan sebarang obligasi yang dipersetujui dengan memastikan kepentingan semua pihak terutamanya pengguna lebuh raya sentiasa dilindungi,” jelas Alexander Nanta.

 

 

Foto: Facebook BESRAYA, LEKAS dan Pakatan Harapan.

Show More

Related Articles

Back to top button