BeritaMenarik

Kebajikan Guru KAFA sentiasa diberi perhatian

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa mengambil berat dan menjaga kebajikan Guru KAFA termasuk kenaikan elaun.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun (Sikamat-PH) berkata, antara insentif yang diberikan oleh Kerajaan Negeri adalah penambahan elaun RM50 bagi setiap lantikan Guru KAFA Tulen bermula tahun 2019 dan Elaun Tanggungjawab Guru Besar Sekolah Kebangsaan sebanyak RM100.

“Selain itu, bermula Julai 2023, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) bersetuju menambah elaun sebanyak RM100 bagi Guru KAFA Tulen di Negeri Sembilan melalui peruntukan yang disalurkan oleh pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

“Selain itu, Guru KAFA Tulen di Negeri Sembilan turut diberikan sumbangan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 sempena Hari Raya setiap tahun bermula tahun 2010,” kata Aminuddin di Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15.

Aminuddin berkata, Kerajaan Persekutuan juga telah menaikkan elaun Guru KAFA sebanyak RM100 bermula Januari 2023 melalui Belanjawan Malaysia Madani 2023.

“Kerajaan Persekutuan turut mengambil kira kebajikan Guru KAFA di mana guru-guru diberikan sumbangan khas setiap tahun iaitu RM600 bagi tahun 2023 berbanding RM500 pada tahun 2022.

“Begitu juga seperti yang telah diumumkan melalui Belanjawan Malaysia Madani 2024, Guru-guru KAFA bakal menerima RM700 melalui peruntukan yang akan disalurkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Islam Negeri Sembilan (JAKIM),” jelas Aminuddin.

Menurut Aminuddin, semua insentif dan kenaikan elaun ini menjadikan keseluruhan Elaun Guru KAFA Tulen Negeri Sembilan sebanyak RM1,420.05 dengan tempoh mengajar hanya 36 jam sebulan termasuk caruman KWSP dan Socso, tidak termasuk bantuan khas kewangan yang diterima oleh Guru KAFA setiap tahun.

 

Show More

Related Articles

Back to top button