Kemasukan tahun satu usia enam tahun secara sukarela perlu dilihat positif: ANWAR
KEPALA BATAS: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata langkah kerajaan melaksanakan kemasukan murid Tahun Satu pada usia enam tahun secara sukarela mulai tahun hadapan tidak seharusnya dilihat dari sudut negatif semata-mata, sebaliknya perlu dinilai dalam konteks meningkatkan mutu pendidikan negara menerusi pendedahan awal persekolahan kepada murid.
Beliau berkata, amalan memulakan pendidikan formal pada usia enam tahun merupakan perkara biasa di kebanyakan negara di dunia, namun pelaksanaannya di Malaysia sering menimbulkan pelbagai reaksi termasuk dakwaan kanak-kanak pada usia itu masih belum bersedia.
“Saya lihat kebanyakan negara di dunia mula darjah satu pada umur enam tahun bila kita buat di sini, riuh rendah ada orang kata enam tahun itu belum bersedia patut belajar al-Quran dulu, dan sebagainya.
“Saya nak beritahu mengapa kita bawa perubahan ini kita mula tahun depan tahun ini, kalau anak kita umur lima tahun, hantar dia cepat ke prasekolah, siap untuk satu tahun,” katanya.
Menurut Anwar, pendedahan awal yang diberikan kepada kanak-kanak mampu membantu mereka menjadi lebih pintar dan berdaya saing, sekali gus menyumbang kepada usaha mengangkat negara ke tahap yang lebih hebat.



