Kerajaan Negeri belanja RM126 juta bagi sektor pendidikan
SEREMBAN: Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM126 juta daripada 2019 hingga tahun ini bagi sektor pendidikan di negeri ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, perbelanjaan tersebut adalah bertujuan bagi memperkasakan pendidikan di negeri ini.
“Pelbagai program serta inisiatif telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri sebagai contoh, RM1.68 juta bagi fasiliti Sekolah Agama Rakyat dan RM13.1 juta bagi Maahad Ahmadi.
“Negeri Sembilan juga menjadi negeri yang pertama memperkenalkan Tabung Penyelenggaraan Sekolah dengan peruntukan sebanyak RM4.5 juta.
“Tabung ini bertujuan membantu kerja-kerja pembaikan kecil dan segera yang diperlukan pihak sekolah.
“Ia secara tidak langsung dapat memastikan para pelajar dapat menikmati kemudahan pembelajaran yang kondusif serta menjamin keselamatan mereka ketika berada di sekolah,” kata Aminuddin.