Kolej Yayasan Negeri Sembilan (KYNS) amat dekat di hati saya: AMINUDDIN

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa menzahirkan komitmen padu dalam bidang pendidikan, khususnya dalam pengajian TVET.
Sejak mengambil alih tampuk kepimpinan Kerajaan Negeri pada tahun 2018; Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun telah mengadakan beberapa lawatan ke Kolej Yayasan Negeri Sembilan (KYNS) bagi melihat sendiri keperluan akademik dan kebajikan pelajar di kolej tersebut.
Justeru itu, beliau telah mengambil inisiatif untuk melakukan pelbagai pembaharuan termasuk pembangunan infrastruktur dan kebajikan pelajar.
Aminuddin berkata, sehingga kini, Kerajaan Negeri telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada KYNS.
“Pada tahun 2022, KYNS telah mendapat kampus baharu yang bernilai RM10 juta di Kampus Gentam, Kuala Pilah.
“Pada tahun yang sama, KYNS telah mendapat tambahan RM2.9 juta untuk menaiktaraf kemudahan pembelajaran termasuk makmal IT.
“Sebanyak RM10 juta lagi melalui geran padanan Kerajaan Negeri dan YNS telah diberikan kepada KYNS pada tahun ini (2025) untuk pembinaan Dewan Utama di Kampus Gentam bagi kemudahan pembelajaran,” jelas Aminuddin.
Menurut Aminuddin lagi, hanya pelajar KYNS ditawarkan Pinjaman Pendidikan Bolehubah Biasiswa TVET MADANI Negeri Sembilan melalui Yayasan Negeri Sembilan bernilai RM3.2 juta setahun.
“Pelajar KYNS juga layak mendapat Subsidi TVET Madani Negeri Sembilan (makan dan penginapan percuma) yang bernilai RM1.6 juta setahun.
“Kedua-dua insentif ini telah bermula pada Julai 2023 sehingga ke hari ini.
“Turut diperkenalkan Bantuan Awal Pendidikan kemasukan ke KYNS (Geran one-off) yang bernilai RM1,000 kepada setiap pelajar yang berdaftar masuk di KYNS.
“Inilah kelebihan yang ada pada pelajar-pelajar KYNS. Mereka hanya perlu fokus kepada pengajian dan terus mencipta kejayaan dalam bidang yang mereka ceburi,” ujar Aminuddin.
Aminuddin menyatakan komitmen beliau dan Kerajaan Negeri Sembilan adalah untuk menyokong dan memberikan peruntukan bagi menambahbaik fasiliti dan inisiatif demi keselesaan pelajar dari semasa ke semasa.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada KYNS yang telah membuktikan kejayaan dalam melaksanakan program kemahiran dalam bidang Teknologi dan Teknikal, Hospitaliti, serta Pengurusan.
“Kerajaan Negeri berharap KYNS akan terus menyediakan kursus-kursus berimpak tinggi yang sejajar dengan tuntutan Revolusi Industri 5.0.
“Saya berharap KYNS akan terus memperluas kolaborasi dengan pelbagai sektor bukan sahaja dalam bidang Elektrik, Automotif, Hospitaliti dan Pengurusan tetapi meneroka bidang seperti Semikonduktor, Kenderaan Elektrik (EV), Kecerdasan Buatan (AI), Maritim, Perundangan, Minyak dan Gas,” kata Aminuddin.