KPM Perkukuh TVET Melalui Kerjasama Industri dan Kurikulum Baharu
NILAI: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus diperkasa sebagai laluan pendidikan utama negara apabila menerima sambutan luar biasa daripada masyarakat, khususnya dalam kalangan pelajar dan ibu bapa.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, jumlah permohonan meningkat daripada 28,098 pada tahun 2022 kepada 58,263 pada tahun 2026, berbanding kapasiti hanya 17,912 tempat.
Menurutnya, perkembangan itu mencerminkan keyakinan tinggi ibu bapa dan masyarakat terhadap laluan pendidikan berasaskan kemahiran tersebut.
“Kadar kebolehpasaran graduan TVET Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mencapai 99 peratus sekali gus menunjukkan tahap kemahiran pelajar yang tinggi serta keberkesanan ekosistem TVET negara.
“Dalam masa sama, penglibatan industri terus diperkasakan bagi memastikan kursus dan latihan yang ditawarkan sentiasa relevan dengan keperluan semasa sekali gus mengelakkan ketidaksepadanan antara kemahiran graduan dan kehendak pasaran kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Konvokesyen Kolej Vokasional KPM Kali Ke-10 Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata usaha memperkasa TVET terus digiatkan di bawah Majlis TVET Negara dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk industri.
“Ketika ini kita giat memastikan anak-anak TVET terus diberikan perhatian khususnya dalam soal pembangunan kemahiran. Penglibatan industri amat penting bagi meningkatkan keupayaan mereka untuk terus berdaya saing dan menjadi tenaga penting dalam sektor kemahiran negara,” katanya.
Tambah beliau, majlis konvokesyen tersebut bukan sahaja meraikan kejayaan pelajar malah menjadi platform pengiktirafan kepada mereka yang cemerlang dalam bidang akademik dan kemahiran.
“Hari ini kita meraikan pelajar terbaik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga aktif dalam bidang kemahiran serta penglibatan di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Penganugerahan ini penting untuk melonjakkan semangat serta memberi motivasi kepada pelajar lain,” katanya.
Sementara itu, KPM komited untuk terus memperkukuh TVET sebagai pilihan utama pelajar selain mengiktiraf peranan penting rakan industri dalam membangunkan bakat tempatan.
Menurutnya, TVET akan terus diperkasakan melalui pelbagai inisiatif termasuk Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) serta pelaksanaan kurikulum baharu yang memberi penekanan kepada pendedahan awal TVET di peringkat sekolah.
“Dengan sokongan semua pihak, kita yakin ekosistem TVET negara akan terus berkembang dan kekal relevan dalam mendepani cabaran ekonomi masa depan,” katanya.




