Lebih 100,000 Permohonan Guru Diterima, KPM Mulakan Proses Temuduga Bulan April Ini
NILAI: Kementerian Pendidikan (KPM) menerima lebih 100,000 permohonan bagi pengambilan guru baharu sesi 2026, jauh melebihi sasaran awal sebanyak 20,000 kekosongan jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG9 secara Contract of Service (CoS).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, permohonan berkenaan telah ditutup dan proses temuduga sedang dilaksanakan bermula bulan ini bagi mengenal pasti calon yang layak.
Menurutnya, jumlah permohonan yang tinggi itu mencerminkan minat dan komitmen luar biasa rakyat terhadap profesion perguruan.
“Keperluan asal hanya sekitar 20,000, namun kita menerima lebih 100,000 permohonan dari seluruh negara.
“Proses temuduga akan dilaksanakan segera dan calon yang berjaya akan menjalani latihan sebelum ditempatkan bagi sesi persekolahan tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional KPM Kali Ke-10 Tahun 2025 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini.
Tambah beliau, sambutan luar jangkaan itu turut menunjukkan keyakinan masyarakat terhadap usaha KPM dalam memastikan sistem pendidikan negara terus berkualiti dan inklusif.
Terdahulu, pengambilan guru baharu itu merupakan sebahagian daripada persiapan awal kementerian bagi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 serta kemasukan murid berumur enam tahun ke Tahun 1 secara sukarela mulai tahun hadapan.




