LIGA A1: Tiga pemain bawah 23, tiga pemain import

PETALING JAYA: Liga Bolasepak Amatur (AFL) memperkenalkan dua peraturan baharu untuk saingan Liga A1 Semi-Pro 2025/26.
Pengerusi AFL, Dato’ Mohd Yusoff Mahadi berkata, setiap pasukan diwajibkan untuk menyenaraikan tiga pemain bawah 23 tahun dalam setiap perlawanan.
“Ini satu peraturan yang baharu bagi pasukan Liga A1.
“Langkah ini bertujuan untuk memberi lebih banyak pendedahan dan peluang kepada bakat-bakat muda tempatan,” katanya.
“Selain itu, saingan Liga A1 juga membenarkan penggunaan tiga pemain import pada musim ini bagi menjadikan saingan lebih menarik.
“Tiga pemain import ini tiada sekatan umur,” kata beliau.
Mohd Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, dua pasukan ‘feeder’ Liga Super, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dan Selangor FC II serta Imigresen FC II bakal mewarnai saingan musim 2025/26.
“Kehadiran empat pasukan baharu, lima pasukan sedia ada, serta tiga pasukan ‘feeder’ ini akan memeriahkan lagi landskap bola sepak semi-pro negara yang dijadualkan bermula penghujung Julai dan berakhir Mei 2026.
“Secara rasmi, 12 pasukan yang telah mengesahkan penyertaan adalah Armed Forces FC, Manjung City FC, Imigresen FC II, JDT II, Selangor FC II, Kelantan WTS FC, Kedah FA, Machan FC, Kelantan Red Warriors FC, Bunga Raya FC, Malaysian University Football Team dan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA),” katanya.
Mohd Yusoff turut memaklumkan bahawa tiga pasukan telah diberikan kelulusan bersyarat bagi membolehkan mereka menyertai saingan Liga A1 musim ini.
“Tiga pasukan tersebut ialah Kedah Darul Aman (KDA) FC, Guar Syed Alwi (GSA FC), dan Seoul Phoenix FC dari Korea Selatan yang berpangkalan di Lembah Klang.
“Mereka diberikan tempoh 10 hari, sehingga 15 Jun 2025, untuk melengkapkan beberapa kriteria serta dokumen yang diperlukan AFL,” jelasnya.
Katanya, perancangan asal AFL adalah untuk mendapatkan sehingga 14 pasukan yang bakal bersaing.
“Jika semua atau ada di antara pasukan bersyarat itu berjaya mendapatkan kelulusan penuh, maka jumlah pasukan akan bertambah.
“Jika tidak, AFL tiada masalah untuk meneruskan dengan 12 pasukan yang sememangnya telah bersedia.
“AFL juga mempunyai dua pasukan dalam senarai menunggu, iaitu UM-Damansara FC dan Ipoh City FC, yang boleh dipertimbangkan sekiranya terdapat keperluan untuk melengkapkan jumlah pasukan.
“Kedua-dua pasukan ini telah melalui proses yang sama sebelum ini, namun masih banyak kriteria yang perlu mereka penuhi,” kata beliau.
Senarai pasukan Liga A1 Semi-Pro 2025/26:
1. Armed Forces FC
2. Manjung City FC
3. Imigresen FC II
4. Johor Darul Ta’zim II
5. Selangor FC II
6. Kelantan WTS FC
7. Kedah FA
8. Machan FC
9. Kelantan Red Warriors FC
10. Bunga Raya FC
11. Malaysian University
12. Persatuan Bolasepak Perak
Tiga pasukan diberikan kelulusan bersyarat
13. Kedah Darul Aman (KDA)
14. Guar Syed Alwi (GSA FC)
15. Seoul Phoenix FC (Korea Selatan)